Deria bunyi boleh hilang secara beransur-ansur apabila usia meningkat dan selalunya terjadi pada kedua-dua belah telinga.
Walaupun normal, masalah pendengaran tidak seharusnya dibiarkan tanpa rawatan kerana ia boleh membawa kepada penyakit sekunder seperti kemurungan dan kemerosotan fungsi otak.
Jenis gangguan pendengaran
Terdapat dua jenis utama masalah pendengaran dikategorikan mengikut bahagian telinga yang terkesan, iaitu:
- Conductive : Kerosakan sementara pada bahagian luar atau tengah telinga. Jenis ini selalunya boleh dirawat melalui pembedahan atau perubatan.
- Sensorineural : Kerosakan kekal pada saraf di bahagian telinga dalam. Jenis ini tiada rawatan tetapi boleh ditangani dengan penggunaan alat bantu pendengaran.
Presbikusis atau gangguan pendengaran orang tua termasuk dalam jenis sensorineural.
Tanda-tanda masalah pendengaran orang tua
Oleh kerana kehilangan pendengaran berlaku secara perlahan, ramai warga emas tidak sedar akan perubahan tersebut. Hal ini kerana gejala kehilangan pendengaran pada usia tua mungkin berbeza bagi setiap individu.
- Kesukaran mendengar apabila terdapat bunyi lain atau kebisingan
- Percakapan individu lain kelihatan berkumat-kamit (mumbling) dan tidak jelas
- Kerap meminta individu lain untuk mengulangi percakapan
- Kesukaran mendengar percakapan melalui telefon
- Perlu menguatkan bunyi televisyen sehingga mengganggu individu lain
- Kesukaran mengikuti perbualan apabila ramai orang sedang bercakap secara serentak
- Kesukaran mendengar nada suara wanita dan kanak-kanak yang lebih rendah
- Telinga berdesing atau berdengung (titanus)
- Kesukaran mendengar nada bunyi yang bingit seperti deringan telefon atau cicipan burung
Jika orang tersayang anda mengalami mana-mana gejala di atas, anda dinasihatkan untuk membawa mereka berjumpa dengan pakar telinga, hidung, dan tekak (ENT specialist) agar pemeriksaan telinga dapat dilakukan.
Punca masalah pendengaran orang tua

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada masalah pendengaran dalam kalangan warga emas seperti:
-
Kelemahan fungsi telinga dalam
Apabila kita semakin berumur, fungsi organ—termasuk telinga kita—turut akan merosot secara perlahan-lahan. Bilangan sel yang berkurangan dan perubahan dalam struktur sel menyumbang kepada kehilangan pendengaran.
Punca utama lain yang menyebabkan kerosakan pada telinga dalam ialah kerap terdedah kepada bunyi yang kuat. Kerosakan tersebut berkaitan dengan sel rambut atau sel saraf dalam telinga yang memainkan peranan penting untuk menghantar isyarat kepada otak.
Oleh sebab sel rambut yang telah rosak tidak berupaya untuk tumbuh semula, kehilangan pendengaran juga tidak mampu pulih secara semula jadi.
-
Keadaan kesihatan lain
Diabetes dan tekanan darah tinggi merupakan antara penyakit yang boleh membawa kepada masalah pendengaran.
Hal ini kerana tahap gula yang tinggi dan tekanan darah tinggi mengakibatkan stres pada saluran darah. Jika dibiarkan lama, saluran darah dalam badan termasuk di dalam telinga mungkin akan mengalami kerosakan.
Kehilangan pendengaran secara tiba-tiba barangkali adalah tanda amaran strok, jadi anda dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan dengan segera.
-
Perubatan
Sesetengah ubat-ubatan ‘ototoxic’ boleh memberi kesan sampingan kepada pendengaran seseorang. ‘Oto’ merujuk kepada telinga, manakala ‘toxic’ bermaksud membahayakan.
- Ubat tahan sakit (e.g aspirin, naproxen, acetaminophen)
- Jenis antibiotik tertentu (e.g aminoglycosides)
- Ubat diuretik loop bagi penyakit darah tinggi, buah pinggang, dan jantung (e.g furosemine, ethacrynic acid, bemetanide)
- Ubat kemoterapi (e.g Cisplatin)
Namun, ia bergantung kepada dos dan kekerapan pengambilan ubat. Disebabkan warga emas mengambil preskripsi harian tertentu untuk jangka panjang, mereka lebih terdedah kepada kesan sampingan ubat ototoxic.
Jika terdapat sesuatu yang berlainan dengan pendengaran anda selepas mengambil ubat-ubatan seperti di atas, pastikan anda maklumkan kepada doktor.
Cara menangani masalah pendengaran orang tua

Masalah pendengaran jenis sensorineural akibat kerosakan pada saraf telinga tidak mempunyai penawar. Mujurnya, terdapat cara lain yang boleh membantu mengatasi masalah pendengaran warga emas.
Alat bantu pendengaran
Doktor akan mencadangkan pemakaian alat bantu pendengaran bagi mereka yang mengalami kehilangan pendengaran tahap ringan atau sederhana. Ia merupakan alat elektronik yang dipasang pada bahagian dalam atau belakang telinga dan berfungsi untuk menjadikan bunyi lebih kuat serta jelas.
Implan koklea
Bagi mereka yang mengalami kehilangan pendengaran tahap teruk, pilihan implan koklear adalah lebih sesuai. Ia akan ditanam di belakang telinga melalui pembedahan untuk membantu mengesan bunyi agar isyarat dapat dihantar ke otak.
Assistive Listening Devices (ALDs)
ALDs adalah sistem teknologi khusus pada alat komunikasi untuk memudahkan kefahaman perbualan. Salah satu contoh popular ALDs ialah telefon yang mempunyai skrin paparan untuk membaca teks ucapan.
Pencegahan masalah pendengaran pada usia tua
Langkah pencegahan perlu dimulakan dari usia muda kerana masalah pendengaran yang berkaitan dengan penuaan usia tidak boleh dipulihkan sebaik sahaja anda mendapatnya.
-
Kurangkan pendedahan kepada bunyi kuat
Elakkan daripada menetapkan bunyi televisyen, radio, fon telinga, dan fon kepala pada tahap yang kuat. Adalah lebih baik jika anda tidak kerap berada dalam suasana yang bising dan berbunyi kuat seperti konsert, perlawanan sukan di stadium, dan menonton filem di panggung wayang.
Jika anda bekerja di kawasan yang bising dan perlu menggunakan peralatan yang berbunyi kuat, anda digalakkan untuk memakai alat pelindung telinga untuk mengurangkan impak bunyi.
-
Menjaga kesihatan anda dengan baik
Jadikan senaman dan amalan pemakanan sihat sebagai rutin sejak dari usia muda untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik di kemudian hari.
Bagi pesakit darah tinggi dan diabetes, pastikan anda mengikut arahan serta tips doktor untuk kekal cergas. Jangan pernah langkaui preskripsi anda kerana kesihatan anda akan terjejas jika pengambilan ubat tidak konsisten.
-
Mengetahui kesan sampingan perubatan
Anda boleh berbincang dengan doktor untuk mendapatkan alternatif ubat-ubatan yang mempunyai kesan sampingan minimal pada pendengaran anda.
Tips berbual dengan warga emas yang mempunyai masalah pendengaran
Berkomunikasi dengan individu yang bermasalah pendengaran adalah perkara yang agak rumit, terutamanya dengan golongan warga emas. Berikut adalah beberapa teknik yang anda boleh amalkan apabila berbual dengan mereka:
-
Mendapatkan perhatian

Langkah yang paling penting sebelum anda memulakan sebarang perbualan bersama warga emas yang bermasalah pendengaran adalah dengan mengambil perhatian mereka.
Cara ini dilakukan melalui panggilan nama atau gelaran mereka. Jika mereka tidak perasan isyarat verbal tersebut, anda juga boleh menyentuh tangan mereka atau melambai-lambaikan tangan anda ke arah penglihatan mereka.
Pastikan anda melakukannya dengan lemah lembut dan tidak secara mengejut.
-
Menghadap muka

Selain isyarat verbal, isyarat bukan verbal seperti ekspresi muka dan gerakan tangan serta bahasa tubuh turut membantu warga emas yang bermasalah pendengaran untuk memahami percakapan kita sebanyak yang mungkin.
Anda perlu bercakap sambil menghadap wajah mereka agar eye contact dapat dikekalkan sepanjang perbualan. Elakkan berpaling ke arah lain dan mengunyah ketika berbual kerana ini akan membuatkan mereka mengalami kesukaran untuk membaca gerakan bibir anda.
Berbual dari bilik yang berlainan juga tidak digalakkan kerana jarak jauh akan menjadikan kelantangan suara anda semakin rendah dan tidak jelas.
-
Sebutkan perkataan dengan jelas

Orang tua yang mempunyai masalah pendengaran tidak berupaya untuk memahami percakapan yang laju. Justeru, anda dinasihatkan untuk berbual secara perlahan tanpa berkumat-kamit dan berhenti sekali sekala agar mereka dapat mengikuti apa yang sedang diperkatakan.
Gunakan perkataan yang mudah untuk difahami. Bagi istilah atau konsep tertentu yang mungkin tidak diketahui oleh mereka (e.g media sosial), pastikan anda memberikan penjelasan secukupnya.
Nada anda juga harus sentiasa lemah lembut dan tidak terlalu tinggi bagi tujuan menjaga pendengaran mereka yang sensitif.
-
Kurangkan gangguan bunyi

Suasana bising boleh menghindarkan komunikasi yang efektif. Oleh itu, singkirkan bunyi latar belakang seperti televisyen, muzik, dan sesi masakan ketika berbual.
Apabila berada di majlis sosial atau kawasan awam di mana terdapat ramai individu, anda boleh cuba untuk mencari ruang yang lebih senyap. Tips lain yang membantu dalam suasana ini adalah dengan duduk di sisi mereka agar mudah untuk membisik di telinga.
Jika perbualan melibatkan lebih dari satu individu dalam satu masa, elakkan berbual secara serentak dan memotong percakapan mereka supaya warga emas yang bermasalah pendengaran tidak terasa tertekan atau terasing kerana gagal untuk memahami.
-
Cuba untuk ulangi percakapan

Kerap mengulangi perkataan atau ayat adalah perkara yang normal apabila berbual dengan warga emas bermasalah pendengaran. Ini kerana mereka tidak selalunya dapat mendengar secara menyeluruh pada cubaan pertama.
Ulangi perkataan yang sama beberapa kali dapat membantu meningkatkan kefahaman mereka. Jika mereka masih kelihatan kekeliruan, anda mungkin boleh mencuba alternatif lain contohnya melalui penulisan.
-
Mengekalkan kesabaran
Menangani individu yang bermasalah pendengaran boleh menguji kesabaran kita sebagai penjaga, terutamanya apabila perlu mengulangi percakapan anda beberapa kali. Ini mungkin mudah menimbulkan perasaan kecewa dan letih.
Namun, kita perlu bersikap empati terhadap orang tersayang kita dengan sentiasa mengingatkan diri bahawa proses penuaan adalah lumrah hidup dan kita juga akan berada di tempat mereka pada suatu hari nanti.
Jika anda mula berasa marah, tarik nafas dan tenangkan diri dahulu sebelum meneruskan perbualan. Ketahui bahawa mereka juga cuba sebaik yang mungkin untuk mendengar dan memahami percakapan anda. Kadangkala perkataan yang mereka tersalah dengar juga boleh menjadi bahan jenaka yang menghiburkan suasana.
-
Mementingkan pilihan mereka
Komunikasi memerlukan usaha daripada kedua-dua belah pihak. Selain daripada mengamalkan tips berbual, mereka juga harus memaklumkan cara komunikasi yang disukai.
Hal ini kerana setiap warga emas yang bermasalah pendengaran mempunyai cara komunikasi yang berbeza. Sesetengah individu mungkin gemar kaedah penulisan, berbisik, ataupun meninggikan nada suara.
Dengan mengetahui kehendak mereka, kita dapat menyesuaikan teknik berbual kita untuk menyampaikan mesej dengan lebih berkesan.
- AgingCare. (n. d.). How to communicate with hearing impaired elderly loved ones. https://www.agingcare.com/articles/hearing-loss-communication-techniques-144762.htm
- Clason, D. (2022, April 19). Age-related hearing loss. Healthy Hearing. https://www.healthyhearing.com/report/52510-Presbycusis-understanding-age-related-hearing-loss
- Cleveland Clinic. (2021, June 7). Age-related hearing loss (Presbycusis). https://my.clevelandclinic.org/health/articles/5840-age-related-hearing-loss
- National Institute of Aging. (2018, November 20). Hearing loss: A common problem for older adults. https://www.nia.nih.gov/health/hearing-loss-common-problem-older-adults#:~:text=Presbycusis%2C%20or%20age%2Drelated%20hearing,hear%20what%20others%20are%20saying
- National Institute on Deafness and Other Communication Disorders. (2022, March 16). Age-related hearing loss. https://www.nidcd.nih.gov/health/age-related-hearing-loss