Makanan Tempatan Yang Perlu Dielakkan Untuk Pesakit Hipertensi - Homage

Makanan Tempatan Yang Perlu Dielakkan Untuk Pesakit Hipertensi

Cara pemakanan yang tidak sihat berisiko untuk menjadikan keadaan hipertensi bertambah teruk. Kenali makanan tempatan mana yang sesuai untuk diet pesakit tekanan darah tinggi.

oleh Ain Nadzirah

Kualiti Diet Rakyat Malaysia 

Malaysia terkenal dengan kepelbagaian jenis makanan yang bukan sahaja dinikmati oleh masyarakat tempatan, malah digemari oleh para pelancong.  

Malangya, di sebalik kelazatan dan keunikan makanan kita, kajian telah menunjukkan bahawa kualiti diet dalam kalangan rakyat Malaysia ternyata pada tahap yang membimbangkan. 

Antara faktor yang menyumbang kepada masalah ini adalah: 

Cara masakan

Kebanyakan makanan Malaysia sering disediakan melalui kaedah masakan yang tidak sihat iaitu bergoreng. Ini dapat diketahui dengan jelas daripada menu makanan tempatan yang popular seperti nasi goreng, ikan goreng, ayam goreng, pisang goreng, dan sebagainya. Sifat makanan bergoreng yang berminyak menjadi punca kepada kandungan kalori tinggi. 

Walaupun makanan bergoreng memberikan rasa yang lebih sedap dan tekstur yang lebih rangup berbanding cara masakan sihat (secara bakar, rebus, atau kukus), ia mempunyai kandungan lemak tidak tepu dan lemak trans yang sangat tinggi terutamanya apabila digoreng dengan minyak masakan sayuran. 

Kedua-dua jenis lemak yang kurang menyihatkan ini boleh meningkatkan tahap kolesterol LDL yang terkumpul di dinding arteri dan membawa kepada penyakit darah tinggi (hypertension) disebabkan oleh saluran darah menjadi keras dan sempit. 

Makanan sihat yang sukar diperolehi

Meskipun kita boleh makan makanan organik atau menggunakan bahan makanan yang lebih sihat, harganya yang mahal dan pilihan yang agak terhad di pasaran menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia berpaling daripada membelinya. 

Tarikan makanan segera 

Rantaian restoran makanan segera yang kini semakin bertambah menjadi pilihan utama ramai orang disebabkan oleh harganya lebih berpatutan dan mempunyai kemudahan penghantaran makanan ke rumah. 

Bagi para individu di kawasan bandar yang sentiasa kesibukan dan tidak sempat untuk menyediakan makanan sendiri, kelebihan ini mengakibatkan mereka kerap membuat pesanan untuk makanan segera.

Budaya makan luar

Dengan adanya gerai-gerai makanan yang beroperasi selama 24 jam contohnya restoran mamak, kita sudah terbiasa dengan budaya late-night eating yang berpotensi membawa kepada peningkatan obesiti dan gangguan kualiti tidur. 

Berbanding makanan yang dimasak di rumah, makanan di gerai-gerai lebih tinggi risiko kesihatannya kerana kita tidak dapat mengehadkan kandungan gula atau garam dalam masakan. Jika di rumah kita boleh bertukar kepada air fryer untuk menggoreng secara sihat, masakan di gerai luar sering menggunakan minyak masakan sayuran.

Hipertensi di Malaysia

Mengikut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, hipertensi antara penyakit tidak berjangkit teratas yang meningkatkan risiko penyakit jantung, diikuti dengan penyakit kencing manis dan kolesterol tinggi. 

Di Malaysia, dianggarkan satu daripada tiga individu berumur 18 tahun ke atas berisiko untuk menghidap hipertensi. Salah satu sebab utama yang menyumbang kepada isu kesihatan ini adalah kurang kesedaran tentang kepentingan kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia—terutamanya cara pemakanan. 

Tanda-Tanda Hipertensi

Tanda-tanda hipertensi agar sukar untuk dikesan kerana pesakit hipertensi kebiasaan tidak mengalami sebarang simptom. Cara yang terbaik untuk mengetahui paras tekanan darah anda adalah dengan mengambil bacaan dari semasa ke semasa. 

Namun, jika anda mengalami mana-mana simptom berikut, pastikan anda mendapatkan rawatan segera:

  • Sakit kepala yang teruk
  • Sakit dada
  • Kesukaran bernafas
  • Belum selesai
  • Rasa mual atau muntah-muntah
  • Penglihatan kabur
  • Hidung berdarah
  • Degupan jantung yang tidak normal

Makanan Malaysia Yang Sesuai Untuk Pesakit Hipertensi 

Untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, anda boleh pertimbangkan alternatif makanan seperti di bawah sebagai juadah harian

Nasi Kerabu

Berasal dari Kelantan, hidangan nasi yang terkenal kerana warnanya yang biru ini sebenarnya lebih berkhasiat berbanding dengan nasi kegemaran rakyat Malaysia, iaitu nasi lemak. 

Kerabu Rice with Percik Chicken

Source: Maggi

Adalah lebih ideal bagi pesakit tekanan darah tinggi untuk bertukar kepada nasi kerabu kerana ia kebiasaanya disediakan dengan ulam, herba atau sayur-sayuran segar yang tinggi dengan kandungan serat. Sumber protein seperti ikan atau ayam selalunya dibakar dan bukannya digorengmenjadikan ia pilihan yang lebih sihat. 

Dengan nasi kerabu, anda boleh mengurangkan kalori sebanyak separuh (380 kalori) daripada sepinggan nasi lemak yang mengandungi 800 kalori.  

Tips : Pastikan anda hadkan pengambilan budu, sambal, dan telur masin ketika menjamu selera nasi ini. 

Nasi Ayam Hainan

Satu lagi alternatif hidangan nasi yang sihat adalah nasi ayam hainan. Yang menjadikan nasi ayam jenis ini lebih sesuai untuk pesakit tekanan darah tinggi berbanding nasi ayam biasa adalah penggunaan ayam stim.

Untuk nasi ayam biasa, ia disediakan bersama ayam goreng yang berminyak atau ayam panggang yang kering serta sudah kehilangan khasiat asalnya. Sebaliknya, ayam stim amat berkesan dalam mengawal kolesterol, kalori dan lemak kerana ia dimasak tanpa menggunakan minyak.  

Tosai

Tidak ramai yang tahu makanan kaum India ini merupakan alternatif sihat kepada roti canai. Tosai sebenarnya kaya dengan karbohidrat dan protein kerana ia diperbuat daripada adunan tepung yang mengandungi beras, kacang ulunthu (sejenis kacang dal), dan halba (sejenis rempah ratus).

Namun, apa yang membuatkan tosai sesuai bagi pesakit tekanan darah tinggi adalah disebabkan ia disediakan dengan kuantiti minyak yang sangat sedikit. Kurang berminyak bermaksud ia rendah lemak dan rendah kalori, maka tosai dapat membantu mengelakkan tahap kolesterol yang tinggi.

Tips : Anda digalakkan untuk menikmati tosai bersama kacang dal yang lebih sihat dan elak daripada memilih kuah kari (berminyak) atau chutney kelapa (mengandungi lemak tepu yang tinggi).

Popiah Basah (Fresh spring rolls)

Popiah basah merupakan pilihan snek sihat yang sesuai untuk pesakit tekanan darah tinggi kerana ia kurang berminyak dan sarat dengan pelbagai sayur-sayuran seperti lobak, kekacang, sengkuang, taugeh, dan sebagainya. 

Bukan sahaja ia rendah kalori, anda juga lebih mudah untuk rasa kenyang disebabkan oleh saiz popiah basah yang agak besar serta sumber serat yang tinggi dalam sayur-sayuran tersebut. 

Ayam Tandoori 

Tandoori chicken

Source: mypositiveparenting.org

Lain kali jika anda berkunjung ke restoran mamak, pastikan anda memesan ayam tandoori sebagai gantian kepada ayam goreng. 

Bukan sahaja ayam tandoori disaluti dengan pelbagai rempah ratus yang memberikan banyak khasiat (jika dimakan secara sederhana), ia juga dimasak dengan kuantiti minyak yang agak sedikit.

Asam Laksa

Makanan kegemaran rakyat Malaysia ini sebenarnya sarat dengan protein yang sangat tinggi dan kandungan lemak yang rendah kerana ia tidak melibatkan penggunaan minyak.

Kuah asam laksa terdiri daripada air rebusan ikan-ikan (seperti ikan sardin atau ikan tongkol) dan dihidang bersama telur rebus, timun, daun kesum, dan bawang besar. 

Berlainan dengan laksa-laksa lain, asam laksa lebih sesuai bagi pesakit tekanan darah tinggi kerana ia tidak dicampur dengan santan yang mampu meningkatkan tahap kolesterol jahat anda. 

Makanan Malaysia Yang Perlu Dielak Bagi Pesakit Hipertensi

Berikut adalah antara makanan lokal yang anda perlu elakkan atau kurangkan dalam diet:

Nasi goreng

Mudah disediakan tak bermakna ia sihat. Ramai antara kita gemar nasi goreng kerana ia sejenis hidangan ‘all-in-one’ yang disediakan bersama ikan bilis atau hirisan ayam, cili, telur, dan sayur-sayuran.

Akan tetapi, nasi goreng tidak sesuai bagi pesakit hipertensi kerana semua bahan-bahan ini digoreng dalam satu kuali. Jadi bukan sahaja nasinya berminyak, sayur-sayuran yang sihat juga diselaputi minyak. 

Mee Kari

Mi kari menggunakan banyak santan dan minyak dalam pneyediaanya. Ini menyumbang kepada jumlah kalori yang sangat tinggi (lebih kurang 500 hingga 600 kalori dalam satu hidangan). 

Kandungan lemak tepu dalam santan menjadikan makanan ini tidak sesuai untuk pesakit hipertensi kerana ia berisiko untuk menaikkan paras kolesterol jika tidak dijaga pemakanan.

Char Kuey Teow dan Mee Goreng

Walaupun kedua-dua makanan ini dikenali sebagai salah satu ‘hawker food’ yang popular di Malaysia, ramai yang tidak beri perhatian kepada kandungan bahannya. 

Tahukah anda jumlah kalori char kuey teow lebih kurang 700 kalori? Selain daripada berminyak, char kuey teow dan mee goreng turut mengandungi banyak lemak, kolesterol, dan garam. 

Roti Canai

Meskipun makanan ini menjadi menu utama sarapan atau ketika lepak di restoran mamak pada waktu malam, anda perlu berhati-hati dengan pengambilan roti canai terutamanya jika anda ialah pesakit hipertensi. 

Bukan sahaja roti canai itu sendiri diselaputi minyak ataupun marjerin, cecahan kari yang sering dimakan bersama roti canai juga sangat berminyak. Ini akan meningkatkan lagi tahap kolesterol dan lemak dalam badan anda yang boleh menjadikan tekanan darah tinggi lebih teruk.

Nasi Lemak

Selain penggunaan minyak, santan adalah satu lagi bahan masakan yang tidak digalakkan bagi pesakit hipertensi. Oleh sebab itu, anda perlu kurangkan pemakanan nasi lemak kerana ia menggunakan kuantiti santan yang banyak sebagai bahan utama. 

Kandungan lemak tepu yang tinggi dalam santan akan menyebabkan kolesterol jahat terkumpul di dinding saluran darah anda dan boleh buatkanya tersumbat. Lama-kelamaan, ia akan menjadi keras lalu meningkatkan tekanan darah tinggi anda. 

Snek atau kuih bergoreng

Tidak dinafikan, santapan petang atau kudapan tempatan kita semuanya lazat dan rangup belaka. Namun, ianya juga jelas bahawa makanan-makanan seperti pisang goreng, keropok lekor, dan popiah goreng, murtabak dan pasembur semuanya sangat berminyak.

Pengurusan pemakanan dan kesihatan anda di rumah oleh penjaga bertauliah

Sama ada anda sendiri adalah pesakit hipertensi atau penjaga kepada pesakit hipertensi, besar kemungkinan anda mudah terlepas pandang akan penjagaan tekanan darah tinggi kerana sentiasa sibuk menguruskan komitmen lain. Pengambilan ubat tekanan darah tinggi juga boleh terlangkau, apatah lagi perhatian kepada pemakanan.

Melalui penjagaan khusus hipertensi yang disediakan oleh Homage, penjaga professional kami akan memastikan persiapan hidangan anda adalah mengikut diet yang sesuai untuk pesakit hipertensi. Lain-lain bantuan termasuk pemantauan tekanan darah, peringatan perubatan, dan berkhidmat sebagai pengiring untuk temujanji bersama doktor. 

Ketahui lebih lanjut tentang penjagaan hipertensi kami di sini atau hubungi Penasihat Penjagaan kami hari ini!

Rujukan
Mengenai Penulis
Ain Nadzirah
Ain hanyalah seorang lagi peminat filem bandar kecil yang melayan tunggangan keretanya sebagai pentas untuk mengeluarkan lagu-lagu dan muzikal. Ia bukan pemandangan yang pelik untuk melihat dia bercakap dengan 14 kucingnya di rumah, atau berdebat dengan neneknya kerana mempunyai terlalu banyak (dan mengira) bunga pasu.
Jadikan Penjagaan Rumah Peribadi Kepada Orang Yang Anda Sayangi
Curve

Jadikan Penjagaan Rumah Peribadi Kepada Orang Yang Anda Sayangi

Mulakan dengan perundingan percuma hari ini, dan ketahui mengapa beribu-ribu rakyat Malaysia mempercayai Homage untuk memberikan penjagaan terbaik di rumah mereka.

Berhati-hati Sekarang