Petua Mencegah Cirit-birit di Rumah- homage

Petua Mencegah Cirit-birit di Rumah

Cirit-birit menjejaskan golongan muda dan tua dan boleh membawa kepada komplikasi serius jika tidak dirawat. Ketahui petua untuk mencegah diarrhea di rumah.

oleh Ain Nadzirah

Cirit-birit

Hampir setiap individu dewasa dan kanak-kanak mengalami cirit-birit sekurang-kurangnya sekali dalam masa setahun. Keadaan normal ini menimbulkan rasa kejang pada bahagian perut yang memaksa anda pergi ke tandas lebih kerap daripada biasa dan menghasilkan tinja cair atau berair. 

Meskipun ia selalunya akan pulih dengan sendirinya selepas beberapa hari, cirit-birit yang melarat mungkin menjadi tanda untuk penyakit berbahaya. 

Cara Sistem Penghadaman Berfungsi

Bagi memahami bagaimana cirit-birit boleh terjadi, kita perlu mendalami terlebih dahulu bagaimana proses penghadaman berjalan. 

Penghadaman memainkan peranan penting untuk memecahkan makanan kepada nutrien bagi membekalkan tenaga, serta membantu dalam tumbesaran badan dan juga pemulihan sel agar tubuh badan anda dapat berfungsi dengan sebaik-baiknya. 

Sistem penghadaman terdiri daripada beberapa komponen iaitu saluran gastrousus (gastrointestinal tract), hati, pankreas, dan hempedu. Saluran gastrousus menghubungkan organ-organ utama penghadaman yang bermula daripada mulut, esofagus, perut, usus kecil, usus besar sehingga dubur. 

Berikut menunjukkan proses saluran gastrousus menggerakkan makanan dan minuman dalam badan anda:

Your Digestive System & How it Works

Source: National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases

Organ penghadaman Fungsi
Mulut Makanan yang ditelan akan dibawa masuk ke dalam esofagus.
Esofagus Otot pada dinding esofagus akan mengecut secara berulang untuk menolak bahan makanan ke dalam perut. Proses ini dikenali sebagai peristalsis dan berlaku sepanjang saluran gastrousus.  
Perut Perut akan menghasilkan asid dan enzim pencernaan yang bertindak untuk menguraikan bahan makanan menjadi lebih kecil agar mudah diserap dalam usus. 
Usus kecil Proses penguraian makanan diteruskan dalam usus kecil apabila bercampur dengan enzim daripada usus, pankreas, dan hempedu. Air dan nutrisi daripada makanan seperti karbohidrat, protein, serta lemak kemudian diserap ke dalam aliran darah atau dinding usus kecil. Sisa-sisa makanan yang tidak dapat dicerna dan diserap akan dibawa ke usus besar. 
Usus besar Usus besar akan menyerap lebihan air daripada sisa makanan tersebut agar menjadi lebih padat sehingga membentuk tinja atau najis. Tinja akan disimpan secara sementara dalam rektum (pada bahagian hujung usus besar).
Dubur atau anus Dubur adalah di mana saluran pencernaan berakhir dengan mengeluarkan tinja daripada badan apabila buang air besar. 

Punca Cirit-Birit

Cirit-birit akan berlaku apabila terdapat gangguan pada sistem penghadaman anda yang boleh berpunca daripada pelbagai faktor. 

Jangkitan kuman

Cirit-birit biasanya berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman sama ada:

  • Bakteria dan parasit. Kedua-dua kuman ini sering menyebabkan cirit-birit akibat keracunan makanan melalui makanan dan minuman yang tercemar, atau secara kontak fizikal dengan individu, permukaan, serta haiwan yang terdedah kepada kuman tersebut. E. coli dan Salmonella 
  • Virus (stomach flu). Antara jenis virus yang biasa menyebabkan cirit-birit adalah norovirus, rotavirus, dan hepatitis. 

Anda akan lebih mudah terdedah kepada jangkitan kuman apabila kebersihan diri dan sekeliling tidak terjaga terutamanya jika sumber air untuk penggunaan memasak, minum, serta tujuan pembersihan di rumah telah tercemar. 

Jika anda pergi melancong ke luar negara, anda berkemungkinan boleh mengalami travellers’ diarrhoea semasa percutian atau sebaik sahaja pulang. Ia juga berpunca daripada mencuba makan makanan atau minuman di negara tersebut yang mungkin telah terjejas akibat tahap kebersihan dan sanitasi rendah. Antara kawasan yang berisiko tinggi termasuk Asia (kecuali Jepun), Mexico, Afrika, Timur Tengah,  Amerika Tengah, dan Amerika Selatan. 

Intoleransi dan alahan makanan

Makanan tertentu contohnya makanan pedas, telur, alkohol, kekacang dan sebagainya boleh menyebabkan cirit-birit atas sebab alahan. Jenis makanan yang mencetuskan reaksi alahan berbeza mengikut individu.   

Sekiranya anda mempunyai intoleransi laktosa, usus kecil anda tidak berupaya untuk menghasilkan enzim laktase yang secukupnya bagi menghadam laktosa (gula daripada bahan tenusu). Kesannya, laktosa dibawa ke usus besar tanpa diserap ke dalam badan dan menyebabkan cirit-birit. 

Segelintir individu mempunyai masalah intoleransi fruktosa. Ini bermaksud usus mereka tidak mampu mencerna gula daripada buah-buahan, madu, dan sesetengah sayur-sayuran. 

Gula alkohol iaitu pemanis buatan seperti xylitol, sorbitol, maltitol, dan erithritol yang dijumpai dalam gula-gula getah serta produk bebas gula turut boleh menjadi punca cirit-birit lebih-lebih lagi jika dimakan dalam kuantiti yang banyak. 

Ubat-ubatan

Cirit-birit sebenarnya merupakan kesan sampingan biasa bagi beberapa jenis ubat-ubatan. Tidak semua individu mengalaminya, namun sesetengah orang yang mengambil:

  • Antibiotik : Ubat yang berfungsi untuk menyerang bakteria dalam badan termasuk bakteria baik. Kekurangan bakteria baik dalam usus boleh menjadi punca cirit-birit. 
  • Antasid : Kumpulan ubat-ubatan bertujuan melegakan masalah gastrik dan pedih ulu hati. 
  • Rawatan kanser : Kemoterapi membunuh kedua-dua sel sihat dan sel kanser. Ketidakseimbangan sel dalam badan boleh mengganggu proses penghadaman sekaligus membawa kepada perubahan dalam pergerakan usus. 
  • Laksatif/Julap : Berguna untuk menangani masalah sembelit. Namun, cirit-birit boleh berlaku dengan penggunaan yang berlebihan atau secara berpanjangan.

Penyakit Sistem Penghadaman

  • Sindrom iritasi usus (IBS) : Cirit-birit adalah simptom biasa bagi mereka yang menghidapi penyakit jangka panjang ini. 
  • Penyakit radang usus (IBD) : Kolitis ulseratif dan penyakit Crohn merupakan dua jenis IBD utama yang menimbulkan kesakitan, ulser, dan keradangan pada usus atau mana-mana bahagian dalam sistem penghadaman. Kadangkala IBD boleh menjadi punca cirit-birit.  
  • Penyakit Celiac : Penyakit ini menyebabkan imun sistem menyerang usus kecil dan mengakibatkan cirit-birit apabila anda makan bahan mengandungi gluten seperti gandum dan barli.

Stres atau kebimbangan

Tahukah anda kesihatan usus dan kesihatan otak saling berkaitan? Hubungan ini dipanggil paksi usus-otak.

Apabila anda menghadapi tekanan stres atau tanda-tanda kebimbangan, badan anda akan mengaktifkan reaksi fight-or-flight. Hormon stres yang dihasilkan akan membuatkan proses penghadaman tidak teratur. Bagi sesetengah individu, ini akan menimbulkan kesan fizikal seperti cirit-birit dan perut kembung. 

Pembedahan 

Ramai individu mengalami cirit-birit selepas menjalani surgeri pada abdomen, usus, atau hempedu. Hal ini kerana sistem penghadaman anda perlu mengambil masa untuk kembali berupaya menyerap nutrien daripada makanan dan membentuk tinja yang lebih padat. 

Jenis cirit-birit

Tahap keterukan cirit-birit boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu:

Cirit birit akut

Jenis cirit-birit paling biasa selalunya berlaku dalam masa 1 hingga 2 hari dan tidak melarat melebihi 14 hari. 

Cirit-birit berterusan

Cirit-birit yang berterusan melebihi 2 minggu hingga 4 minggu. 

Cirit birit kronik

Cirit-birit yang bertahan melebihi 4 minggu. Namun, tidak semua pesakit cirit-birit kronik menghidapi penyakit serius. Kadangkala, ia dianggap kronik kerana anda mengalaminya secara berulang (datang dan pergi) dari semasa ke semasa dalam tempoh jangka masa panjang atas sebab alahan, intoleransi makanan, atau pengambil ubat-ubatan tertentu. 

Berbanding dengan cirit-birit akut yang mampu pulih dengan sendirinya selepas beberapa hari, cirit-birit kronik berisiko menjejaskan kesihatan anda dengan lebih serius. Cirit-birit jenis ini boleh menyebabkan najis anda sama ada berair, berdarah, atau berminyak. 

Tanda-Tanda Cirit-Birit

Najis yang cair dan berair adalah simptom utama cirit-birit. Selain daripada itu, gejala cirit-birit biasa termasuk:

  • Perut berasa kembung, sakit, kejang, atau tidak selesa
  • Keperluan mendesak untuk ke tandas
  • Hilang kawalan daripada membuang air besar
  • Loya 
  • Keletihan

Manakala bagi cirit-birit yang lebih teruk, antara gejala yang mungkin dialami seperti:

  • Dehidrasi akibat kehilangan air dalam badan
  • Demam
  • Muntah-muntah
  • Hilang selera makan
  • Kesakitan perut yang melampau
  • Najis berdarah atau berlendir
  • Berat badan menurun akibat kehilangan nutrien

Petua Remedi Cirit-Birit di Rumah

Cirit-birit biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan doktor untuk pulih terutamanya jenis cirit-birit akut. Walaubagaimanapun, anda dialu-alukan untuk mencuba remedi cirit-birit di rumah berikut bagi mempercepat proses penyembuhan. 

Tingkatkan hidrasi

Cirit-birit boleh membuatkan badan anda kehilangan banyak air dan elektrolit yang mengandungi pelbagai mineral penting seperti sodium, magnesium, kalsium, dan potasium. Oleh itu, matlamat utama rawatan cirit-birit di rumah adalah untuk memulihkan hidrasi dalam badan. 

Selain daripada memperbanyak minuman air putih, alternatif lain termasuk:

  • sup
  • larutan hidrasi oral (ORS) di farmasi
  • minuman tenaga seperti 100 Plus

Jika mana-mana contoh di atas membuatkan anda rasa loya dan muntah-muntah, doktor anda mungkin perlu memberikan cecair melalui terapi intravena (IV).

Minuman berkafein, berkarbonat, dan beralkohol sebaik-baiknya dielakkan. 

Probiotik

Probiotik merupakan bakteria baik yang sudah ada dalam badan kita berfungsi untuk menjamin kesihatan sistem penghadaman. 

Suplemen probiotik boleh diambil dalam bentuk pil atau serbuk bagi mengatasi ketidakseimbangan antara bakteria baik dan bakteri jahat dalam usus apabila anda mengalami cirit-birit. 

Probiotik juga boleh didapati dalam sumber makanan lain seperti:

  • yogurt
  • tempeh
  • kombucha
  • buah zaitun
  • kimchi
  • cuka epal 

Mengamalkan diet pemulihan

Walaupun meningkatkan tenaga juga penting ketika mengalami cirit-birit, perut anda perlu diberi masa untuk pulih sebelum anda dapat kembali kepada amalan pemakanan biasa. 

Berikut adalah strategi diet bagi menangani cirit-birit yang disarankan oleh International Foundation for Gastrointestinal Disorders

  • Simpan diari makanan untuk mencatat jenis makanan dan minuman yang boleh menjadikan cirit-birit anda bertambah teruk.
  • Makan dalam kuantiti yang kecil tetapi selalu.
  • Elakkan minum cecair sahaja setiap hari. 
  • Makan makanan mengandungi sodium dan potasium (seperti pisang, sup, dan kentang rebus).
  • Makanan rendah serat digalakkan (contohnya mi, roti putih, dan biskut masin)
  • Minuman pada suhu bilik iaitu tidak terlalu panas atau terlalu sejuk.

Bagi sesetengah pesakit cirit-birit, doktor mungkin menasihatkan mencuba diet cecair dahulu untuk masa 24 jam pertama sebelum beralih kepada makanan pejal. 

Ubat belian kaunter (OTC)

Sebaiknya anda merujuk kepada doktor terlebih dahulu untuk mendapatkan nasihat ubat yang terbaik untuk mengatasi cirit-birit anda. Hal ini kerana jika cirit-birit anda berpunca daripada jangkitan bakteria, preskripsi antibiotik adalah paling efektif. 

Namun, sekiranya antibiotik membuatkan cirit-birit anda lebih teruk sebagai kesan sampingan, doktor anda mungkin akan mengurangkan dos atau bertukar kepada ubat lain.

Mandian sitz

Anda mungkin akan berasa sakit atau sensasi panas pada bahagian dubur setelah kerap buang air besar akibat cirit-birit. Salah satu petua untuk melegakan ketidakselesaan ini adalah melalui mandian sitz.

Terdapat dua kaedah mandian sitz iaitu dengan:

  • Merendamkan dubur dalam besin sitz mudah alih yang boleh disangkutkan pada tempat duduk tandas.
  • Merendamkan dubur dalam tab mandi dan meletakkan kaki anda pada penjuru tab mandi sambil bersandar. Anda juga boleh membengkokkan lutut anda sambil duduk.

Mandian sitz dilakukan selama 15 hingga 20 minit sahaja. Air rendaman perlu suam mengikut keselesaan dan boleh ditambahkan bahan-bahan yang membantu mengurangkan jangkitan seperti garam epsom, garam bukit, dan herba. 

Sabun mandi, buih mandian, dan jenis sabun lain tidak digalakkan kerana ia boleh mengeringkan kulit serta meningkatkan kemerahan pada bahagian dubur.

Bila perlu segera berjumpa dengan doktor?

Sekiranya anda mengalami mana-mana simptom berikut yang membimbangkan, dapatkan rawatan doktor secepat mungkin:

  • Mengalami cirit-birit melebihi dua hari
  • Mengeluarkan najis cair sebanyak enam kali atau lebih dalam masa 24 jam
  • Cirit-birit berserta muntah yang kerap
  • Cirit-birit berserta demam mencecah suhu 38 celsius (102 Fahrenheit) dan ke atas
  • Rasa sakit yang teruk pada bahagian abdomen atau rektum
  • Mengalami gejala dehidrasi seperti pening kepala dan kurang buang air kecil
  • Najis berwarna hitam atau gelap (mungkin menandakan terdapat pendarahan dalam sistem penghadaman)

Sekiranya simptom anda menandakan keadaan yang lebih serius, anda mungkin akan dirujuk kepada pakar.

Pencegahan Cirit-Birit 

Oleh kerana cirit-birit sering berpunca daripada jangkitan kuman, anda boleh mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko masalah cirit-birit.

  • Amalkan kebersihan yang baik. Pastikan anda sentiasa mencuci tangan dengan sabun terutamanya sebelum dan selepas makan atau masak, selepas menggunakan tandas, selepas berkebun, dan selepas menukar lampin. Hand sanitizer digalakkan jika tiada sumber air berdekatan. 
  • Jauhi makanan yang anda alah dan yang boleh menjadikan intoleransi anda bertambah teruk. 
  • Sisa makanan hendaklah disimpan dalam peti sejuk tidak melebihi 3 hari kerana bakteria akan mula membiak. Penggunaan bekas kedap udara digalakkan. Makanan atau minuman yang telah tamat tempoh sebaiknya dibuang. 
  • Elakkan makanan mentah dan yang kurang masak. Anda perlu memastikan bahan makanan telah dicuci dengan bersih sebelum dimakan. 
  • Sumber bekalan air di rumah perlu bersih dan ditapis untuk penggunaan domestik. Penapis air juga hendalah rajin dicuci sekurang-kurangnya setiap minggu. 
  • Elakkan berkongsi tandas dan produk kebersihan seperti tuala mandi dengan pesakit yang mengalami cirit-birit bagi menjaga sanitasi serta mengurangkan risiko berjangkit.
  • Berjaga-jaga dengan cara pemakanan ketika melancong ke negara luar. Daripada minum air paip yang dikhuatiri tidak dirawat dengan betul, sebaiknya anda pilih minuman dalam botol atau air yang telah dimasak. Elakkan membeli makanan dari gerai-gerai di tepi jalan. Buah dan sayur dibeli sebaiknya dicuci sendiri dahulu. 

Dapatkan vaksinasi Rotavirus untuk anak anda. Bayi berumur seawal enam minggu layak menerima vaksin tersebut dan boleh didapati di klinik atau hospital swasta.

Rujukan
Mengenai Penulis
Ain Nadzirah
Ain hanyalah seorang lagi peminat filem bandar kecil yang melayan tunggangan keretanya sebagai pentas untuk mengeluarkan lagu-lagu dan muzikal. Ia bukan pemandangan yang pelik untuk melihat dia bercakap dengan 14 kucingnya di rumah, atau berdebat dengan neneknya kerana mempunyai terlalu banyak (dan mengira) bunga pasu.
Jadikan Penjagaan Rumah Peribadi Kepada Orang Yang Anda Sayangi
Curve

Jadikan Penjagaan Rumah Peribadi Kepada Orang Yang Anda Sayangi

Mulakan dengan perundingan percuma hari ini, dan ketahui mengapa beribu-ribu rakyat Malaysia mempercayai Homage untuk memberikan penjagaan terbaik di rumah mereka.

Berhati-hati Sekarang