Memahami Alzheimer melalui Filem Malaysia – Imaginur | Penghormatan

Memahami Alzheimer melalui Filem Malaysia – Imaginur

Pernahkah anda terfikir apakah yang bermain di dalam fikiran seorang pesakit Alzheimer's? Ketahui dengan lebih lanjut menerusi filem Imaginur, sebuah filem tempatan arahan Nik Amir Mustapha.

oleh Ain Nadzirah

Jika anda belum lagi menonton filem tempatan Malaysia 'IMAGINUR' arahan Nik Amir Mustapha dan penulisan Redza Minhat yang baru-baru ini ditayangkan pada 23 Februari 2023, inilah masanya untuk anda rebut tiket filem tersebut di pawagam sekarang!

Artikel ini mengandungi spoilers dari filem Imaginur***

Karya romantik-sains fiksyen ini yang berjaya masuk dalam senarai pendek bagi New York Asian Film Festival 2022 kini mendapat sambutan hebat dalam dan luar negara. Ia bukan sahaja dipuji kerana keunikan pada teknik plot, malah usahanya untuk mengetengahkan isu-isu kemanusiaan yang jarang mendapat pendedahan secukupnyaiaitu pemulihan trauma dan penyakit kronik Alzheimerjuga disanjung tinggi.

Tentang filem Imaginur

Memahami Alzheimer melalui Filem Malaysia – Imaginur | Penghormatan

Sumber: Malaymail

IMAGINUR mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Zuhal yang kerap mempunyai mimpi tentang seorang wanita misteri. Pada masa yang sama, dia turut mula mengalami kekeliruan memori dalam kehidupan sebenarnya sehingga ia menjadi tidak terkawal. Atas cubaan untuk mendapatkan rawatan, dia mengunjungi sebuah syarikat pelik dipanggil Hypnotika yang meletakkan Zuhal dalam prosedur hipnosis. 

Sepanjang filem ini, kita disaksikan memori-memori lama Zuhal yang menggambarkan perjalanan hubungannya dengan seorang gadis bernama Nur. Di penghujung filem, terdapat plot twist yang pasti menggamit perasaan—Zuhal sebenarnya ialah warga emas berpenyakit Alzheimer yang masih menjalani rawatan hipnosis di hospital selama tiga tahun. Dengan bantuan kakaknya Isma dan Doktor Ramli, Zuhal akhirnya mampu mengingat kembali identiti wanita misteri dalam mimpinya itu yang terbukti merupakan Nur, isteri kepada Zuhal. 

Dari aspek nama filem, IMAGI mungkin merujuk kepada gambaran atau imaginasi gadis misteri iaitu Nur dalam mimpi Zuhal. Dalam bidang perubatan, ia boleh juga dikaitkan dengan prosedur pengimejan otak seperti imbasan CT dan imbasan MRI yang memainkan peranan penting dalam mendiagnosis Alzheimer.

Jelas sekali, NUR ialah salah satu karakter utama dalam filem ini tetapi secara simboliknya, ia turut membawa definisi cahaya dalam agama Islam. Ini melambangkan dua perkara : watak Nur bukan sahaja seseorang bermakna dalam hidup Zuhal, malah dia juga secara tidak langsung menjadi sebab utama Zuhal tidak lagi terperangkap dalam memori lama dan mampu untuk meneruskan kehidupan.

Tahukah anda bahawa penyakit Alzheimer merupakan salah satu jenis Dementia? Ketahui lebih lanjut mengenai perbezaan kedua-dua jenis penyakit ini disini.

Memahami penyakit Alzheimer melalui filem Imaginur

Zuhal Imaginur Homage

Sumber: sayaiday.com

Apa yang menjadikan filem IMAGINUR berupaya untuk memberi impak luar biasa kepada penonton bukanlah dari aspek plotnya, tetapi lebih kepada struktur naratif yang tidak linear (turutan bukan kronologi). 

Visual daripada filem yang berlompat antara satu babak dengan babak lain mencerminkan kecelaruan ingatan, seterusnya meletakkan penonton seperti dalam keadaan minda pesakit Alzheimer.

Apakah jenis Alzheimer yang dilihat dalam filem?

Penyakit Alzheimer terbahagi kepada dua kategori, iaitu:

  • Early On-Set : Terjadi sebelum umur 65 tahun (kes yang sangat jarang berlaku)
  • late on-set : terjadi pada individu berumur 65 tahun ke atas (jenis Alzheimer biasa)

Berdasarkan watak Abah dan Zuhal dalam IMAGINUR, kedua-duanya berkemungkinan besar mengidap jenis Alzheimer late on-set kerana mereka sudah dalam lingkungan usia warga emas.

Bagaimana simptom Alzheimer dipaparkan dalam filem?

Tahap awal Alzheimer

Kehilangan ingatan merupakan simptom utama pada peringkat awal Alzheimer. 

Jenis ingatan yang kebiasaannya mula terjejas pada fasa ini adalah short-term memory or working memory (kemampuan otak untuk menyimpan informasi untuk jangka masa pendek). Akibatnya, pesakit Alzheimer sukar untuk mengingat fakta atau kejadian yang baru berlaku. 

Contoh dalam filem : Selepas mengidap Alzheimer, Zuhal yang tua gagal untuk mengingati kematian Nur yang baru berlaku beberapa tahun sebelumnya tetapi berupaya mengimbas kembali memori-memori lama pada zaman muda dari sebelum dia berjumpa dengan Nur.

Tahap sederhana Alzheimer

Simptom Alzheimer pada peringkat ini boleh dikatakan fasa yang paling panjang berbanding peringkat lain. Antara gejala yang sering dialami oleh pesakit Alzheimer adalah:

  • Ingatan mengenai suatu kejadian yang telah berlaku dalam kehidupan seseorang (episodic memory) semakin terkesan.
Contoh dari filem : Zuhal tidak mengingati kematian bapanya, ikatan perkahwinannya dengan Nur, dan juga kematian Nur. Pepatah dari filem "kita tidak tahu apa yang kita tidak tahu" menjelaskan yang Zuhal sendiri tidak menyedari dirinya telah menghidap penyakit Alzheimer dan bukan lagi seorang pemuda.
  • Hilang keupayaan untuk mengenali lokasi dan ruang masa, seperti sering lupa di mana mereka berada serta tidak mengetahui hari ataupun tarikh.
Contoh dari filem: Zuhal tertinggalkan Abah di pasar raya dan lupa untuk membeli barang runcit yang diminta kakaknya Isma. Dia juga beranggapan dirinya masih bersama dengan bekas tunangnya, Yazmin. Abah turut kelihatan kesesatan apabila ditanya oleh seorang pemandu teksi di tepi jalan.
  • Ingatan jangka panjang beransur teruk mengakibatkan pesakit Alzheimer gagal untuk mengenali identiti keluarga dan saudara terdekat.
Contoh dari filem : Zuhal tidak mengenali identiti Nur sebagai individu yang penting dalam hidupnya dan juga tidak dapat mengenal pasti identiti kakaknya Isma yang sudah tua ketika dalam babak hospital pada awal filem. 
  • Gangguan memori juga boleh berlaku melalui ingatan yang bercampur-aduk dengan false memories, atau menempatkan suatu memori pada konteks yang salah.

Contoh dalam filem #1 : Terdapat beberapa watak tidak dikenali (seperti gadis di pejabat Hipnotika dan pemuda berbalut di kepalanya di hospital) muncul dalam memori Zuhal yang mungkin ialah false memories. 

Contoh dalam filem #2 : Pada satu babak di mana Zuhal dan Nur bertengkar di dalam kamar dan Nur hilang secara tiba-tiba. Ini menunjukkan memori Zuhal semasa bersama Nur sebagai suami isteri dan memorinya selepas ketiadaan Nur, tertindih pada masa yang sama. 

Tahap teruk Alzheimer

Tanda-tanda teruk Alzheimer dipaparkan dengan jelas oleh watak 'Abah' (bapa kepada Zuhal) yang tidak lagi mampu untuk berfungsi dengan sendiri dan perlu bergantung sepenuhnya pada penjaga anaknya. 

Kekurangan interaksi oleh Abah adalah disebabkan oleh pertuturan yang merosot kepada penggunaan frasa pendek atau satu perkataan sahaja. Mobiliti fizikal yang terhad juga menyebabkan Abah mengharapkan bantuan dalam aktiviti kehidupan seharian.  

Contoh dalam filem : Zuhal memandikan Abah yang sedang duduk di atas kerusi roda dalam bilik mandi. Abah juga sentiasa kelihatan letih dan selalu mendiamkan diri.

Adakah penyakit Alzheimer berketurunan?

Mempunyai ahli keluarga yang mengidap penyakit Alzheimer tidak menjadi kepastian untuk anda mewarisinya. Namun, risiko anda untuk mendapatkannya adalah lebih tinggi. 

Jika anda mewarisi gen Alzheimer late on-set, masih ada kemungkinan anda tidak akan mengidap penyakit tersebut.

Namun, kebanyakan kes Alzheimer early on-set telah menunjukkan bukti bahawa penyakit tersebut diwarisi. Tetapi peratus pesakit Alzheimer jenis ini sangat sedikit iaitu lebih kurang 10 peratus sahaja dan berlaku sebelum umur warga emas. 

Betulkah pesakit Alzheimer boleh mengalami kenangan palsu?

Ya, false memories sering dialami oleh pesakit Alzheimer kerana penyakit tersebut melibatkan gangguan ingatan.

Mengikut satu kajian, faktor utama keadaan ini berlaku adalah disebabkan false memories mereka mempunyai nilai emosi yang tinggi. Apabila sesuatu memori memberi impak yang besar kepada emosi anda, minda anda lebih cenderung untuk sentiasa kembali kepadanya. Apa yang hilang di minda, masih terpahat dalam hati. 

Namun akibat Alzheimer, memori ini tidak semestinya akan diingat semula dengan tepat. Malah, kejadian yang tidak pernah berlaku mungkin akan bercampur dengan memori yang sebenar.   

Contoh dari filem : Terdapat satu babak perbualan antara Zuhal dan Abah di hospital, di mana Abah memberikan kata-kata terakhir sebelum dia meninggal dunia. Kejadian ini dianggap sebagai khayalan atau memori yang dicipta sendiri oleh minda Zuhal kerana realitinya, Abah masih berada dalam keadaan tidak sedar diri di atas katil wad. Ini kerana memori kematian Abah merupakan kejadian yang traumatik bagi Zuhal.

Adakah konsep 'happy place' berkesan untuk Alzheimer?

Pada penghujung filem, terdapat satu dialog oleh Nur yang menjadi pengajaran untuk penonton bawa keluar dari panggung iaitu "Kalau sedih, pergilah tempat yang boleh buat you rasa happy".

Salah satu unsur yang diketengahkan dalam IMAGINUR adalah konsep 'happy place' sebagai kaedah menangani emosi negatif seperti kesedihan, kesunyian, dan rasa putus asa. Dalam bidang penjagaan pesakit demensia seperti Alzheimer, teknik ini lebih dikenali sebagai reminiscence therapy yang sangat digalakkan bagi tujuan mencerahkan mood pesakit Alzheimer dan untuk menggalakkan mereka berkomunikasi.

Terapi ini meletakkan fokus kepada pesakit Alzheimer untuk memulakan dan menjadi aktif dalam perbualan, manakala penjaga hanya akan memainkan peranan pasif sebagai pendengar. Bukan sahaja kaedah ini mampu membantu membina keyakinan, malah ia dapat mengurangkan rasa tekanan pada minda mereka. 

Cara untuk mereka mengingat kembali memori-memori yang memberikan rasa kegembiraan adalah melalui aktiviti atau objek rangsangan seperti:

  • lagu kegemaran 
  • muzik dan filem lama pada zaman kehidupan mereka 
  • foto-foto lama dari album peribadi atau majalah
  • barang kenangan seperti radio atau kamera lama
  • masakan kegemaran
  • Bau haruman (e.g minyak wangi) yang selalu dipakai dahulu
  • pakaian kegemaran 
  • melawat tempat-tempat yang merangsang nostagia
  • melakukan hobi lama

Adakah hipnosis satu bentuk rawatan?

Ya, proses rawatan psikologi ini sebenarnya dipanggil sebagai hipnoterapi. Jika dilakukan dengan betul oleh pakar hipnotis yang terlatih, rawatan ini berupaya untuk mengurangkan pelbagai masalah kesihatan seperti stress, fobia, dan kegelisahan.  

Walaubagaimanapun, hipnoterapi yang digunakan untuk tujuan merawat Alzheimer masih dianggap sebagai kontroversi oleh sesetengah pakar kesihatan. Hal ini dikhuatiri kerana hipnosis akan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan pada pesakit Alzheimer seperti menggalakkan false memories dan juga menambahkan tekanan mental.

Berbeza dengan apa yang ditunjukkan dalam filem IMAGINUR, alat hipnosis yang sebenar bukanlah dalam bentuk gambar gegelung bergerak. Namun, pakar hipnotis akan cuba untuk mencapai 'intervention' dengan cara memberikan gambaran atau idea, agar dapat diserap ke dalam proses otak anda semasa di bawah pengaruh hipnosis.

Contoh dari filem : Dari permulaan filem, Doktor Ramli dan (terutamanya) Isma sering muncul dalam memori Zuhal. Ini menandakan mereka bekerjasama dalam melakukan intervention untuk merangsangkan proses ingatan Zuhal yang sedang menjalani hipnoterapi, agar dia lebih mudah mengingati memorinya. Penonton juga kemudian didedahkan bahawa Nur ialah orang pertama yang memulakan usaha intervention ini. 

Penjagaan pesakit Alzheimer 

Dalam filem IMAGINUR, selain Zuhal, terdapat seorang lagi watak yang turut berkongsi peranan sebagai penjaga kepada Abah—iaitu kakaknya, Isma. Mereka kelihatan mengalami caregiver fatigue atau caregiver burnout tatkala menggunakan tenaga dan masa untuk menunaikan komitmen lain pada masa yang sama, iaitu kerjaya dan anak.

Contoh dari filem : Akibat kerap menghilangkan diri semasa waktu kerja bagi menjaga Abahnya, jawatan Zuhal diganti dengan staf baru. Manakala Isma perlu membahagikan perhatian kepada anaknya, Qaisara Kirana Imani.

Tanggungjawab Isma beterusan untuk dua generasi apabila Zuhal juga mengidap Alzheimer pada usia lanjutnya. Tanpa ibu bapa atau adik-beradik lain, Isma yang semakin tua mungkin akan menjadi tidak terdaya untuk membantu Zuhal.  

Nota : Seperti Zuhal yang asyik kembali ke memori yang sama, adakah anda juga akan kembali menonton filem ini lebih dari sekali? Pastikan anda sempat menyaksikan tayangan filem IMAGINUR di panggung wayang berdekatan anda.

Filem lain tentang Alzheimer

Salah satu cara efektif untuk memahami penyakit demensia seperti Alzheimer dengan lebih mendalam adalah melalui karya-karya filem. Hal ini kerana seni pefileman mampu menyampaikan sesuatu mesej kepada penonton dengan cara yang kita tidak mungkin dapat rasai dalam kehidupan sebenar. 

Contoh terbesar sudah tentunya IMAGINUR yang berjaya membuatkan anda melihat dunia dari perspektif pesakit Alzheimer. Antara cadangan filem lain berfokuskan tema Alzheimer seperti:

  • Masih Alice (2014)

Masih Alice 2014 | Penghormatan
Alice Howland yang merupakan profesor linguistik mula kehilangan ingatan selepas mencecah usia 50 tahun. Selepas didiagnoskan dengan
Penyakit Alzheimer familial awal permulaan, filem ini menunjukkan bagaimana penyakit kronik tersebut memberi kesan kepada kehidupan peribadi Alice dan juga kerjayanya. 

  • Sedetik Cahaya (2022)

Sedetik Cahaya 2022 | Penghormatan
Filem pendek Raya yang dikeluarkan oleh Xiaomi Malaysia ini menunjukkan realiti kehidupan dan personaliti seorang warga emas berpenyakit Alzheimer yang lupa akan kehilangan isterinya dan juga identiti anaknya. Anda boleh menonton filem pendek ini di
sini.

  • Hidup Di Dalam (2014)

Hidup di dalam | PenghormatanDokumentari yang penuh inspirasi ini mengikuti projek Dan Cohen (pengasas kepada pertubuhan bukan kerajaan 'Music and Memory') dalam melakukan rawatan terapi muzik untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit-pesakit di rumah penjagaan yang menghadapi kemerosotan fungsi otak seperti demensia dan Alzheimer. Dokumentari penuh boleh didapati di sini

  • Selamat Tinggal Lama (2019)
Selamat tinggal panjang (2019)

Sumber: IMDb

Filem antarabangsa Jepun ini yang diadaptasi daripada novel mengisahkan tentang pengetua bersara berusia 70 tahun yang mengidap penyakit Alzheimer tetapi berfokuskan pada realiti kehidupan anak-anaknya sebagai penjaga yang turut mengalami konflik peribadi lain. 

Penjagaan Homage untuk keluarga tersayang yang mengidap Alzheimer / Dementia

Mengambil alih tanggungjawab sebagai penjaga kepada pesakit Alzheimer datang dengan pelbagai dugaan melibatkan emosi, terutamanya jika pesakit tersebut merupakan ahli keluarga kita sendiri. 

Bayangkan orang tersayang yang kita telah hidup dan membesar bersama selama bertahun-tahun sudah tidak mengenali diri kita tetapi pada masa yang sama, masih memerlukan bantuan kita. Setiap hari terasa seperti saat terakhir dengan mereka.

Masyarakat kita sering terlepas pandang yang kita sebagai penjaga juga seorang manusia biasa. Walaupun fizikal dan mental kita masih dapat berfungsi dengan baik, mustahil untuk kita melakukan segalanya seorang diri. Walaupun setelah memberikan yang terbaik, kadangkala kita masih rasa seperti kegagalan. Perasaan ini sangat normal apabila anda telah lama mengutamakan keperluan orang lain sehingga kesejahteraan anda terabai. "Anda juga perlu melarikan diri ke tempat bahagia anda"

Kami mahu anda sebagai penjaga diberi ruang untuk berlari ke happy place anda. Oleh itu, jangan merasa segan untuk mendapatkan bantuan profesional seperti perkhidmatan penjagaan khusus bagi Alzheimer yang disediakan oleh Homage. Pakar kesihatan kami sentiasa bersedia untuk membantu orang tersayang anda, tidak kira Alzheimernya pada tahap awal, sederhana, ataupun teruk. 

Untuk maklumat lanjut tentang servis kami, klik di sini dan dapatkan sesi konsultasi dengan Homage hari ini dengan mengisi ruangan dibawah!

 






  • Dengan mengemukakan borang ini, anda bersetuju bahawa Homage boleh mengumpul dan menggunakan data peribadi anda yang telah anda isikan dalam borang ini, mengikut Polisi Perlindungan Data Homage
  • Medan ini adalah untuk tujuan pengesahihan dan harus dibiarkan tidak berubah.


 

Rujukan

Kategori
Keadaan Kronik
Tags
Mengenai Penulis
Ain Nadzirah
Ain hanyalah seorang lagi peminat filem bandar kecil yang melayan tunggangan keretanya sebagai pentas untuk mengeluarkan lagu-lagu dan muzikal. Ia bukan pemandangan yang pelik untuk melihat dia bercakap dengan 14 kucingnya di rumah, atau berdebat dengan neneknya kerana mempunyai terlalu banyak (dan mengira) bunga pasu.
Utamakan Penjagaan Peribadi Untuk Yang Tersayang
Curve

Utamakan Penjagaan Peribadi Untuk Yang Tersayang

Dapatkan konsultasi percuma hari ini, dan ketahui mengapa beribu-ribu rakyat Malaysia mempercayai Homage untuk memberikan penjagaan terbaik di rumah mereka.

Dapatkan Penjagaan Sekarang