Ketahui Limfoma: Jenis, Gejala, Punca & Rawatan

Limfoma adalah kanser ke-6 paling biasa di Malaysia, terutamanya kalangan orang yang berumur antara 15 dan 35, dan lebih 50 tahun. Ketahui lebih lanjut kanser darah ini.

oleh Ain Nadzirah

Apakah itu Limfoma

Limfoma adalah kumpulan kanser darah yang ditemui dalam sistem limfa anda. 

Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia terkini, sebanyak 5,830 kes limfoma didaftarkan bagi tempoh 2013 hingga 2016. Pada tempoh yang sama juga, kanser limfoma disenaraikan pada tangga ke-4 daripada 10 kanser yang paling biasa di Malaysia. 

Bagi mengetahui bagaimana kanser limfoma terjadi, adalah penting untuk kita memahami terlebih dahulu komponen sistem limfa dan fungsinya. 

Sistem limfa

Sistem limfa merupakan rangkaian kompleks dalam badan yang terdiri daripada beberapa komponen utama, iaitu:

  • cecair limfa
  • saluran limfa
  • sel limfosit 
  • kelenjar limfa atau nodus limfa
  • organ limfa lain seperti limpa, tonsil, kelenjar timus, dan sumsum tulang. 
Diagram of the lymphatic system

Credits : Canadian Cancer Society

Fungsi sistem limfa 1 : Mengedarkan lebihan cecair dalam badan

Sistem peredaran darah dalam badan kita bekerja dalam tekanan yang tinggi. Hasilnya, ini akan memaksa lebihan plasma (cecair kekuningan dalam darah) keluar daripada saluran darah dan diserap dalam tisu badan. Jika cecair ini terperangkap, lama-kelamaan ia akan bengkak dan mengakibatkan edema (fluid retention) yang boleh membawa masalah kesihatan yang lebih serius, contohnya sakit jantung dan tekanan darah tinggi.  

Inilah sebabnya sistem limfa tercipta. Ia berfungsi seperti sistem peredaran darah; bezanya ia bukan mengalirkan darah, sebaliknya membawa lebihan cecair daripada tisu badan tersebut ke dalam saluran limfa ((kini menjadi cecair limfa) dan akhirnya kembali ke saluran darah untuk digerakkan ke seluruh badan. Dengan ini, pengumpulan cecair dalam badan dapat dielakkan dan dapat memastikan cecair dalam badan seimbang. 

Fungsi sistem limfa 2 : Menyerap vitamin dan lemak dari usus

Lemak dan vitamin larut lemak terdiri daripada molekul bersaiz besar yang tidak mampu untuk masuk terus ke dalam saluran darah. Jika terkumpul dalam usus, ia akan mengakibatkan masalah penghadaman. 

Sebaliknya, sistem limfa berupaya untuk menyerap vitamin dan lemak daripada usus anda melalui cecair limfa dan diangkut ke dalam saluran darah semula agar dapat digunakkan oleh organ lain bagi menghasilkan tenaga. 

Fungsi sistem limfa 3 : Sebagai sistem kumbahan penyakit

Pada masa yang sama, sistem limfa juga merupakan sebahagian daripada sistem imun.

Berikut adalah proses bagaimana sistem limfa dapat melindungi badan kita daripada sebarang penyakit dan jangkitan:

  1. Sama seperti saluran darah, jaringan saluran limfa juga terdapat pada seluruh badan kita. Ini bermaksud kanser limfoma boleh bermula di merata tempat dalam badan.
  2. Jaringan saluran limfa ini akan mengedarkan cecair limfa ke seluruh badan. Cecair ini mengumpulkan pelbagai bahan termasuk sisa buangan daripada tisu dan organ, sel-sel rosak, serta sel-sel abnormal. Cecair limfa juga mengandungi sel limfosit (sejenis sel darah putih) berfungsi untuk melawan bakteria, virus, kuman, dan bahan asing lain yang ada dalam badan. 
  3. Sisa buangan, sel rosak, dan sel abnormal yang dibawa oleh cecair limfa kemudian akan ditapis oleh kelenjar limfa. Kelenjar ini adalah organ berbentuk seperti kacang kecil yang menghubungkan saluran-saluran limfa antara satu sama lain.  
  4. Selain bertindak sebagai penapis, kelenjar limfa turut mengandungi sel-sel limfosit yang terbahagi kepada 2 jenis; sel B limfosit dan sel T limfosit. Sel B limfosit berperanan menghasilkan antibodi untuk melawan bahan asing dalam cecair limfa (e.g bakteria, virus, toksin). Manakala, sel T limfosit membantu membunuh sel yang telah dijangkiti (e.g sel kanser).
  5. Apabila sel limfosit dalam kelenjar limfa sedang aktif menyerang jangkitan, ia akan menyebabkan kelenjar tersebut menjadi bengkak atau keradangan. Ini sebenarnya reaksi semula jadi sistem imun dalam badan kita. Kelenjar limfa akan kembali kecut setelah jangkitan berjaya diatasi. 
  6. Cecair limfa yang kini telah dibersihkan akan masuk semula ke dalam aliran darah anda untuk dibawa ke seluruh badan. 

Jenis limfoma

Secara umumnya, jenis limfoma terbahagi kepada dua kategori besar, iaitu jenis Hodgkin dan jenis bukan Hodgkin. 

Limfoma Hodgkin (HL)

Limfoma jenis ini melibatkan limfosit abnormal yang spesifik dipanggil sel Reed–Sternberg

Limfoma Hodgkin biasa berlaku kepada beberapa kumpulan umur:

  • Dari usia 15 hingga 19
  • Dalam usia 20-an
  • Dari usia 55 ke atas

Limfoma bukan Hodgkin (NHL)

Limfoma jenis ini merangkumi semua limfoma selain daripada limfoma Hodgkin. Ini bermaksud terdapat lebih daripada 60 subjenis. Limfoma bukan Hodgkin adalah paling biasa di Malaysia.

Limfoma bukan Hodgkin boleh dibahagikan kepada dua kategori:

  • Gred tinggi – memerlukan rawatan segera kerana ia lebih agresif dan lebih cepat membiak.
  • Gred rendah – tidak memerlukan rawatan segera dan hanya diletakkan di bawah pengawasan aktif kerana ia lebih terkawal dan membiak secara perlahan.

Limfoma bukan Hodgkin lazimnya berlaku pada golongan yang lebih tua dalam lingkungan usia 55 tahun ke atas. 

Limfoma vs Leukemia

Limfoma dan leukemia sering disamakan kerana kedua-duanya adalah kanser darah yang melibatkan sel darah putih.  

Namun, anda boleh melihat beberapa perbezaan antara dua penyakit tersebut di jadual bawah:

Limfoma Leukemia
Lokasi sasaran
  • Sistem limfa, terutamanya kelenjar limfa. 
  • Tisu yang mengeluarkan sel darah, iaitu sum sum tulang. 
Sel yang terlibat
  • Sel limfosit (jenis sel darah putih/leukosit yang spesifik)
  • Sel leukosit (sel darah putih)
Punca
  • Berlaku apabila sel limfosit dalam kelenjar limfa bermutasi menjadi sel abnormal/sel kanser yang membesar terlalu cepat dan di luar kawalan.
  • Berlaku apabila sumsum tulang mengeluarkan sel darah putih abnormal secara tidak terkawal.
Kesan
  • Kelenjar limfa menjadi bengkak dan tidak berupaya untuk kembali mengecut seperti biasa. Ini boleh beransur menjadi tumor.
  • Sel darah putih abnormal melebihi daripada kuantiti sel darah lain seperti sel darah putih sihat, sel darah merah, dan platelet.
  • Sel darah dalam badan tidak seimbang.

Tidak menjadi tumor tapi membiak dalam saluran darah.

Komplikasi
  • Sistem imun terjejas dan tidak mampu untuk berfungsi dengan baik.
  • Kekurangan sel darah putih sihat menjadikan sistem imun lemah.
  • Sel darah merah rendah menyebabkan anemia.
  • Platelet rendah mengakibatkan mudah untuk mendapat lebam/luka dan sukar untuk memberhentikan pendarahan.
Kawasan merebak
  • Boleh merebak ke tisu limfa, saluran limfa, dan kelenjar limfa lain (seperti di leher, ketiak, dan pangkal paha).
  • Oleh kerana cecair limfa tidak berjaya ditapis dalam kelenjar limfa, bahan asing seperti bakteria serta virus mungkin diangkut bersama ke dalam saluran darah.
  • Boleh merebak terus ke dalam saluran darah.
  • Oleh kerana saluran darah ada di seluruh badan, organ lain termasuk organ sistem limfa juga boleh dijangkiti. 
Kumpulan pesakit
  • Lebih lazim dalam kalangan orang dewasa.
  • Lebih lazim dalam kalangan kanak-kanak.

PENTING : Jika anda menghidapi sejenis kanser darah, ada kemungkinan ia boleh beransur membentuk jenis kanser darah lain. Ini bermakna limfoma anda mungkin boleh mencetuskan leukemia, dan juga sebaliknya. 

Gejala Limfoma

Gejala limfoma boleh berlaku secara lokal (pada satu bahagian di badan sahaja) atau secara sistemik (pada seluruh badan).

Gejala limfoma secara lokal

  • Ketulan tanpa sakit di leher, ketiak, atau pangkal paha. Jika tidak hilang, ia mungkin petanda kelenjar limfa anda bengkak.
  • Kegatalan kulit tanpa ruam

Kelenjar limfa yang bengkak akan memberi tekanan pada organ lain. Akibatnya, anda mengalami :

  • Nafas pendek atau rasa menekan di dada
  • Perut rasa kembung
  • Bengkak pada lengan atau kaki

Gejala limfoma secara sistemik (atau Simptom B)

  • Kerap rasa keletihan
  • Demam
  • Berpeluh teruk terutamanya pada waktu malam
  • Sering mendapat jangkitan dan ambil masa lebih lama untuk pulih
  • Hilang selera makan
  • Berat badan menurun tanpa sebab dalam jangka masa pendek

Simptom-simptom di atas juga mungkin adalah tanda-tanda awal bagi penyakit lain yang kurang serius dari limfoma. Namun, anda dinasihatkan untuk merekod sebarang gejala yang timbul dan tempoh dialami agar dapat merujuk kepada pakar kesihatan untuk tindakan selanjutnya.  

Punca Limfoma

Oleh sebab limfoma adalah penyakit kanser, adalah penting untuk kita memahami bagaimana kanser terjadi.

Proses mitosis 

Badan kita terdiri daripada lebih kurang 30 trilion sel. Ini adalah kesan proses mitosis, di mana sel akan bertumbuh dan terbelah kepada dua sel baru. Pembahagian sel ini berlaku secara berterusan sepanjang kehidupan kita untuk pelbagai tujuan termasuk membantu pertumbuhan fizikal dan juga menggantikan sel-sel lama yang telah mati.

Dalam setiap sel, terdapat pusat nukleus yang mengandungi gen atau DNA berperanan mengawal aktiviti sel tersebut. Ia menentukan bila sel perlu mati dan bila sel patut dibelah untuk menghasilkan sel baru. Dengan ini, keseimbangan sel dalam badan dapat dijamin. 

Perubahan gen/DNA

Kadangkala, DNA dalam sel baru mengalami perubahan daripada DNA asal. Perubahan yang dipanggil mutasi ini berlaku disebabkan oleh kesilapan ketika pembahagian sel seperti kerosakan, kehilangan atau ketidaksepadanan DNA. Jika berlaku mutasi gen, selalunya ia tidak berbahaya dan mampu diperbaiki oleh badan kita sendiri. 

Namun, terdapat juga gen mutasi lain yang gagal mengikut arahan sel. Ini dinamakan sel abnormal kerana ia terbelah sebelum waktunya dan kekal hidup walaupun sudah tiba masa untuk mati. Lama-kelamaan, sel-sel abnormal yang tumbuh di luar kawalan ini akan terkumpul dan membentuk kanser. 

Sel biasa akan melalui lebih kurang 6 kali mutasi sebelum menjadi sel kanser.

Kanser limfoma terjadi akibat mutasi gen pada sel darah putih dalam sistem limfa (dikenali sebagai sel limfosit). Ini menyebabkan sel limfosit berganda secara abnor

Faktor-Faktor Risiko Limfoma

Jika anda mempunyai salah satu faktor risiko di bawah, tidak bermakna anda pasti akan dapat limfoma. 

Namun, risiko anda untuk mengidap kanser limfoma adalah lebih tinggi daripada individu lain.

  • Usia lebih tua
  • Mengidap penyakit autoimun, seperti artritis reumatoid dan lupus.
  • Mendapat jangkitan HIV atau mengidap penyakit AIDS.
  • Mengalami jangkitan tertentu, seperti dari virus Hepatitis C dan jangkitan bakteria Helicobacter pylori.
  • Mempunyai sejarah limfoma dalam keluarga (keturunan/genetik).
  • Terdedah kepada toksin persekitaran, seperti bahan kimia dan racun serangga.

Diagnosis Limfoma

Anda mungkin perlu menjalani lebih dari satu ujian diagnostik limfoma bagi mengesahkan kehadiran sel limfoma dalam badan, saiz limfoma, dan peringkat limfoma. 

Ujian darah

  • Kiraan darah lengkap (Complete Blood Count/CBC) boleh mengesan jika bilangan sel darah merah dan platelet anda rendah. Bilangan sel darah putih yang tinggi mungkin adalah petanda limfoma. 
  • Lactate dehydrogenase (LDH) mengira bilangan jenis protein tertentu. Pesakit limfoma selalunya menunjukkan tahap protein LDH yang tinggi.
  • Ujian fungsi hati dan buah pinggang untuk melihat sama ada organ tersebut boleh berfungsi dengan baik atau telah dijangkiti kanser limfoma. 
  • Serum protein electrophoresis (SPEP) boleh memeriksa tahap sel abnormal tertentu.

Prosedur imbasan

  • Imbasan CT (computed tomography) dapat mengesan saiz bengkak pada organ sistem limfa seperti kelenjar limfa dan limpa.
  • Imbasan PET (Positron-emission tomography) untuk melihat tahap sel kanser yang aktif dalam badan. 

Biopsi

Biopsi adalah pembedahan kecil untuk mengambil sampel sel tisu dari kelenjar limfa atau sumsum tulang. Jika terdapat sel limfoma pada sumsum tulang, ia menandakan anda mengidap kanser limfoma tahap 4. 

Tusukan lumbar/Spinal tap

Prosedur ini menggunakan jarum halus yang dicucuk pada bahagian bawah belakang badan untuk mendapatkan cecair serebrospinal (CSF). CSF boleh dijumpai sekeliling otak dan saraf tunjang. Jika sel limfoma dikesan, maksudnya sistem saraf pusat anda telah dijangkiti. 

Peringkat Limfoma

Mengetahui tahap limfoma anda adalah sangat penting agar pasukan medikal anda dapat merancang rawatan yang terbaik untuk anda. 

Peringkat 1 dan 2 termasuk di bawah peringkat awal, manakala peringkat 3 dan 4 dikira sebagai peringkat akhir atau peringkat lanjutan.

Peringkat 1 

Melibatkan satu kawasan kelenjar limfa sahaja, atau melibatkan satu organ di luar kelenjar limfa (limfoma extranodal). Kelenjar limfa yang terkesan sama ada di bahagian atas atau bawah diafragma.

Diafragma adalah otot di bawah paru-paru yang membantu dalam proses pernafasan anda.

Peringkat 2

Melibatkan dua atau lebih kawasan kelenjar limfa pada bahagian diafragma yang sama.

Peringkat 3

Melibatkan kawasan kelenjar limfa di kedua-dua bahagian diafragma. Ini bermaksud sekurang-kurangnya satu kelenjar limfa di atas diafragma dan sekurang-kurangnya satu kelenjar limfa di bawah diafragma terkesan. Organ limpa juga mungkin dijangkiti pada peringkat ini. 

Peringkat 4

Limfoma yang telah merebak ke organ lain di luar sistem limfa (extralymphatic) seperti paru-paru, tulang, dan hati. 

Peringkat limfoma anda juga mungkin dikategorikan lebih spesifik dengan penggunaan huruf, seperti berikut:

A : Anda tidak mengalami simptom sistemik/simptom B

B : Anda mengalami simptom B (demam, peluh pada waktu malam, hilang berat badan)

E : Limfoma anda melibatkan organ di luar kelenjar limfa (extranodal) atau di luar sistem limfa (extralymphatic

S : Limfoma anda melibatkan organ limpa (spleen)

X : Limfoma anda melibatkan lebih dari satu kelenjar limfa dan bersaiz besar.  

Contohnya, jika limfoma anda pada Peringkat 2 dan mengalami simptom B, anda mungkin anda dikategorikan sebagai Peringkat 2B. 

Rawatan Limfoma

Setelah limfoma anda disahkan melalui ujian diagnostik, pelan rawatan limfoma yang akan dicadangkan akan bergantung pada pelbagai aspektermasuk jenis limfoma yang dihidapi, peringkat limfoma anda, risiko kesan sampingan, dan tahap kesihatan menyeluruh. 

Berikut adalah contoh rawatan limfoma biasa:

  • Terapi radiasi

Menggunakan tenaga radiasi yang tinggi untuk membunuh sel kanser limfoma (radioterapi kuratif) atau untuk mengawal dan melegakan simptom (radioterapi paliatif). Rawatan ini selalunya bersifat lokal, iaitu dilakukan pada bahagian spesifik yang dijangkiti limfoma sahaja.

  • Kemoterapi

Ubat-ubatan tertentu digunakan untuk membunuh dan membantutkan sel kanser limfoma daripada membiak. Kemoterapi diberi melalui beberapa cara seperti oral, suntikan ke dalam vena, atau suntikan ke dalam cecair serebrospinal. Rawatan ini bersifat sistemik kerana ia akan masuk ke dalam aliran darah dan melibatkan seluruh badan. Ini bermakna sel-sel sihat yang lain juga akan terjejas.

Kemoterapi akan dilakukan dalam beberapa sesi secara berkala kerana anda perlu menjalani tempoh rehat selepas setiap sesi. Kadangkala, kemoterapi akan digambungkan dengan rawatan radioterapi. 

  • Immunoterapi

Rawatan ini boleh membantu mempertingkatkan imun sistem anda sendiri untuk melawan sel kanser dalam badan secara efektif. Kaedah lain melibatkan penggunaan antibodi buatan. 

  • Pemindahan sumsum tulang

Rawatan ini diberikan hanya jika alternatif lain tidak berkesan dan jika kanser limfoma anda berulang selepas rawatan.

Sebelum prosedur dilakukan, anda perlu menjalani dos kemoterapi yang tinggi untuk menyingkirkan semua sel normal dan sel kanser dalam sumsum tulang. Sel stem yang diambil daripada badan anda sendiri atau penderma lain akan dimasukkan ke dalam aliran darah dan akan menghasilkan sel darah baru yang sihat dalam sumsum tulang. 

Rawatan limfoma agak intensif dan mempunyai kesan sampingan yang boleh menganggu kualiti hidup anda. Oleh itu, tidak semua pesakit limfoma akan menerima rawatan segera. 

Jika limfoma anda bersifat tidak agresif dan tumbuh secara perlahan, anda mungkin akan diletakkan di bawah pengawasan aktif/kaedah tunggu dan lihat dahulu melalui rutin pemeriksaan bersama pasukan medikal anda. Pemeriksaan fizikal dan ujian diagnostik (seperti ujian darah serta ujian imbasan) akan dilakukan dari semasa ke semasa. 

Tujuannya untuk memantau progres simptom, mengawal limfoma anda sebaik mungkin, dan menjadikan rawatan limfoma sebagai alternatif terakhir apabila perlu sahaja.  

Prognosis dan Jangka Hayat Pesakit Limfoma

Pakar kesihatan selalunya merujuk pada ‘5-year survival rate’ sebagai prognosis iaitu peratus pesakit limfoma yang masih hidup selepas 5 tahun mengidap kanser tersebut.  

Mengikut kajian, ‘5-year survival rate’ bagi pesakit limfoma Hodgkin adalah sebanyak 88.9% manakala bagi pesakit bukan Hodgkin mencapai kadar 74.3%

Namun, kadar tersebut hanya anggaran sahaja kerana setiap pesakit limfoma mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap rawatan yang diterima. Setelah tempoh 5 tahun tamat tidak bermaksud kanser limfoma akan pulih sepenuhnya. Kemungkinan limfoma untuk berulang (relapse) masih ada, jadi anda perlu meneruskan rutin pemeriksaan dan rawatan bersama pasukan medikal anda. 

Pencegahan Limfoma

Faktor risiko limfoma seperti perubahan gen atau mewarisi gen mutasi daripada ibu bapa adalah di luar kawalan anda kerana ia tidak boleh diubah. 

Namun, anda boleh cuba melakukan perubahan pada gaya hidup anda untuk mengurangkan risiko daripada mendapat kanser limfoma melalui langkah-langkah berikut :

  • Jauhi aktiviti-aktiviti yang meningkatkan risiko jangkitan (seperti terlibat dalam seks tanpa perlindungan bersama ramai pasangan dan penggunaan dadah secara suntikan)
  • Elakkan terdedah kepada bahan toksin
  • Tinggalkan tabiat merokok
  • Rajin melakukan rutin fizikal untuk kekal cergas
  • Kekalkan berat badan yang sihat
  • Amalkan diet pemakanan yang seimbang agar sistem imun anda kuat

Kumpulan Sokongan Kanser di Malaysia

Kehidupan sebagai pesakit limfoma dan juga penjaga kepada pesakit limfoma boleh menjadi sesuatu yang sangat berat untuk dialami. 

Komunikasi dan jalinan hubungan sosial adalah salah satu saranan terbaik bagi mendapatkan sokongan sebanyak mungkin dalam melalui perjalanan limfoma ini. 

Selain keluarga dan rakan-rakan, anda juga digalakkan menyertai kumpulan sokongan kanser bersama pesakit limfoma lain di bawah organisasi berikut :

Rujukan
Kategori
Keadaan Kronik
Mengenai Penulis
Ain Nadzirah
Ain hanyalah seorang lagi peminat filem bandar kecil yang melayan tunggangan keretanya sebagai pentas untuk mengeluarkan lagu-lagu dan muzikal. Ia bukan pemandangan yang pelik untuk melihat dia bercakap dengan 14 kucingnya di rumah, atau berdebat dengan neneknya kerana mempunyai terlalu banyak (dan mengira) bunga pasu.
Jadikan Penjagaan Rumah Peribadi Kepada Orang Yang Anda Sayangi
Curve

Jadikan Penjagaan Rumah Peribadi Kepada Orang Yang Anda Sayangi

Mulakan dengan perundingan percuma hari ini, dan ketahui mengapa beribu-ribu rakyat Malaysia mempercayai Homage untuk memberikan penjagaan terbaik di rumah mereka.

Berhati-hati Sekarang