Demam denggi
Demam denggi merupakan penyakit virus berjangkit yang berbahaya berpunca daripada gigitan nyamuk Aedes. Penularan denggi berleluasa terutamanya di kawasan-kawasan beriklim tropik seperti Asia Tenggara, Afrika, Amerika Latin, dan pulau-pulau Pasifik barat.
Setakat bulan Oktober 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaporkan peningkatan dalam jumlah kes demam denggi sebanyak 24,642 kes dan jumlah kes kematian sebanyak 14 kes daripada tahun lepas.
Bagaimanakah denggi merebak?
Penyakit denggi disebarkan oleh kumpulan nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti dengan virus denggi. Jangkitan denggi hanya boleh merebak melalui penularan darah. Sentuhan secara fizikal atau seksual, air liur, dan titisan hidung atau mulut tidak boleh menyebabkan denggi.
- Nyamuk Aedes betina yang sihat menggigit orang yang telah dijangkiti virus denggi, dan menghisap darahnya. Darah diperlukan untuk tujuan bertelur.
- Darah yang dijangkiti tersebut akan menyerap masuk ke dalam sistem badan nyamuk Aedes untuk mengeram selama 8 hingga 12 hari.
- Nyamuk Aedes yang kini telah menjadi pembawa atau vektor virus denggi kemudian menggigit dan menghisap orang-orang lain yang sihat.
- Selepas lebih kurang empat hari, mangsa-mangsa tersebut akan mula merasai simptom demam denggi.
- Kitaran denggi akan berulang jika terdapat nyamuk Aedes betina lain yang sihat menghisap darah orang-orang yang telah dijangkiti.
Setelah dijangkiti, virus denggi akan kekal selamanya dalam badan nyamuk Aedes tersebut sehingga ia mati.
Bolehkah denggi merebak tanpa gigitan nyamuk Aedes?
Oleh kerana virus denggi berjangkit apabila nyamuk Aedes menghisap darah, apa-apa proses yang melibatkan pengaliran darah yang menjangkiti orang lain boleh meningkatkan risiko penularan.
Meskipun jarang sekali berlaku, ibu yang dijangkiti denggi berkemungkinan boleh menyebarkan virus denggi kepada bayi dalam kandungan. Kajian pada tahun 2013 menunjukkan virus denggi dapat dikesan dalam tisu janin dan plasenta. Bayi yang terkena jangkitan denggi mempunyai risiko tinggi untuk mengalami masalah kelahiran seperti kurang berat badan, kelahiran pramatang, malah kematian.
Individu yang dijangkiti juga barangkali boleh menyebarkan virus denggi melalui pemindahan organ dan darah.
Faktor risiko penularan denggi
Virus denggi terdiri daripada empat jenis iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4. Pulih daripada jangkitan virus DEN 1 tidak semestinya anda akan menjadi imun kepada jenis virus yang lain. Anda masih boleh terdedah kepada jangkitan denggi lebih dari sekali kepada jenis virus yang berbeza.
Berikut adalah faktor-faktor yang boleh memudahkan jangkitan denggi:
Air bertakung
Air bertakung menjadi tempat kegemaran nyamuk Aedes betina untuk bertelur. Nyamuk Aedes perlu bertelur di bahagian dinding sebelah dalam bekas berisi air, di mana telurnya boleh melekat. Oleh sebab itu, nyamuk Aedes tidak berupaya untuk bertelur di kawasan yang tidak berdinding dan yang mempunyai pergerakan air—contohnya tasik, laut, sungai, dan terusan air.
Telur tersebut kebiasaan berada di atas permukaan air. Apabila paras air meningkat disebabkan oleh hujan atau banjir, telur itu akan tenggelam dan menetas di dalam air sebagai jentik-jentik sebelum membesar menjadi nyamuk Aedes dewasa.
Iklim tropikal
Negara-negara tropik termasuk Malaysia adalah kawasan berisiko tinggi kerana mereka mempunyai cuaca panas dan lembap sepanjang tahun disebabkan oleh hujan bermusim—iklim yang digemari nyamuk Aedes.
Oleh itu, jika anda menetap atau pergi melancong ke negara-negara sebegini, risiko anda untuk terdedah dengan jangkitan denggi adalah lebih tinggi.
Akan tetapi, pemanasan global yang semakin meningkat dijangka akan menyebabkan penyakit denggi menular dengan lebih luas menjelang tahun 2050. Ini bermaksud negara-negara bukan tropik seperti Eropah, Amerika Syarikat, dan Kanada juga berkemungkinan akan terjejas.
Proses pembandaran
Proses pembandaran atau urbanisasi telah membangunkan bandar-bandar baru yang menggalakkan orang ramai untuk berhijrah dari luar bandar atas sebab peluang pekerjaan.
Walaubagaimanapun, populasi tinggi dalam satu kawasan malangnya telah menghasilkan penempatan yang terlebih padat. Ini akan memudahkan virus denggi untuk merebak.
Kemudahan mobiliti
Sistem pengangkutan yang semakin maju membolehkan seseorang bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Hal ini juga meningkatkan risiko jangkitan kerana ada kemungkinan anda menjadi pembawa virus denggi apabila melancong ke kawasan atau negara lain. .
Sejarah demam denggi
Anda lebih mudah terdedah kepada simptom denggi yang lebih serius, jikalau anda pernah menghidap penyakit demam denggi sebelum ini.
Gejala demam denggi klasik
Terdapat tiga fasa demam dengi iaitu:
- Fasa demam (fasa Febrile) : Hari ketiga hingga ketujuh
- Fasa kritikal (Fasa kritikal) : Satu atau dua hari selepas suhu badan menurun
- Fasa kesembuhan (Fasa pemulihan): Hari ketujuh dan ke atas
Tanda-tanda demam denggi kebiasaannya tidak dialami dengan segera. Simptom hanya akan mula muncul dua atau tiga hari selepas digigit nyamuk Aedes. Simptom demam denggi klasik selalunya bertahan selama satu minggu.
- Demam panas secara tiba-tiba dan berterusan selama beberapa hari
- Sakit kepala yang agak teruk
- Sakit sendi, otot, dan tulang
- Sakit di bahagian belakang mata
- Rasa loya
- Muntah-muntah
- Hilang selera makan
- Keletihan
- Ruam
Gejala demam denggi berdarah/sindrom kejutan denggi
Demam denggi berdarah (DDB) merupakan sejenis denggi pada tahap yang parah kerana ia boleh membawa maut. Jikalau anda pernah dijangkiti denggi lebih dari sekali, risiko anda untuk mendapat DDB adalah lebih tinggi.
Pesakit mengalami simptom DBB dalam fasa kritikal iaitu satu atau dua hari selepas suhu demam menurun. Ini bermaksud apabila demam anda semakin reda, ia mungkin tidak bererti denggi anda sudah hilang. Malah, ia mungkin berubah menjadi penyakit yang lebih berbahaya.
Antara gejala-gejala biasa demam denggi berdarah adalah:
- Sakit di bahagian abdomen
- Kerap muntah-muntah
- Sukar untuk bernafas
- Kulit pucat dan sejuk
- Lesu dan lemah
- Hidung atau gusi berdarah
- Darah dalam muntah dan najis
Sindrom Kejutan Denggi (DSS)
Dalam fasa kritikal, anda juga boleh mengalami tahap denggi yang terakhir iaitu Dengue Shock Syndrome. DSS berlaku apabila plasma—sejenis cecair yang membawa darah dan nutrien ke seluruh badan—kebocoran daripada saluran darah anda. Keadaan ini akan menyebabkan kejutan dalam badan yang mengganggu sistem peredaran darah.
DSS boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti:
- pengsan atau badan bengkak disebabkan cecair terkumpul dalam badan
- darah bocor dari saluran membawa kepada pendarahan dalaman
- kesukaran pernafasan
- tekanan darah menurun secara mendadak
- kerosakan organ
Isu-isu kesihatan di atas boleh menyebabkan kematian. Oleh itu, tindakan yang terbaik adalah untuk bergegas ke ruang kecemasan tanpa berlengah.
Diagnosis demam denggi
Sekiranya anda mula mengalami mana-mana gejala di atas, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan diagnosis yang betul. Diagnosis awal sangat penting kerana bukan sahaja ia boleh mencegah virus denggi daripada terus merebak, malah ia juga dapat menyelamatkan nyawa anda sebelum terlambat.
Penilaian gejala
Sebelum pemeriksaan fizikal, doktor anda akan bertanyakan beberapa soalan berkaitan:
- Jangka masa simptom
- Jenis ubat-ubatan yang telah diambil
- Jikalau anda ada melawat atau melancong tempat-tempat tropikal
- Tahap kebersihan di rumah
Ujian pengesanan
Jika anda disyaki menghidap demam denggi, ujian pengesanan akan dijalankan untuk mengesan kehadiran virus denggi dalam badan.
Terdapat pelbagai jenis ujian yang disediakan oleh institusi kesihatan, seperti:
- Ujian kiraan darah lengkap : Denggi boleh menyebabkan bilangan sel darah putih dan platelet menurun.
- Ujian IgM/IgG : Untuk menilai antibodi dalam darah
- Ujian antigen NS1 : Untuk mengesan sejenis protein denggi pada peringkat awal
Sampel anda daripada ujian tersebut kemudian akan dihantar ke makmal untuk dikaji dengan lebih lanjut. Keputusan ujian juga mungkin dapat mengenal pasti jenis virus denggi mana (antara DEN 1, DEN 2, DEN 3, atau DEN 4) yang menyebabkan jangkitan tersebut.
Rawatan demam denggi
Demam denggi masih tidak mempunyai penawar khas yang boleh merawat denggi sepenuhnya.
Sehingga hari ini, tiada lagi vaksin demam denggi yang telah mendapat kelulusan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Para saintis masih dalam proses menghasilkan vaksin pencegahan untuk melawan penyakit demam denggi.
Rawatan demam denggi klasik
Bagi pesakit demam denggi klasik, doktor anda kebiasaanya akan:
- memberi preskripsi paracetamol untuk melegakan demam dan sakit badan
- menyaran untuk banyak berehat
- menasihati untuk memperbanyak minum air bagi mengekalkan hidrasi badan
- mengelak daripada digigit nyamuk dengan mengambil langkah pencegahan di sekeliling rumah
Rawatan demam denggi berdarah
Bagi pesakit demam denggi berdarah, keadaan anda dikategorikan sebagai kecemasan yang perlu segera mendapatkan rawatan medikal di hospital. Setelah dimasukkan dalam wad, anda akan diletakkan di bawah pantauan pakar perubatan untuk:
- diberikan ubat-ubatan dan elektrolit melalui titisan intravena (IV)
- mengawasi tekanan darah
- melakukan pemindahan darah atau platelet jika perlu
JANGAN sesekali membeli perubatan di kaunter farmasi tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor anda. Ini kerana terdapat ubat-ubatan tahan sakit yang boleh membuatkan pendarahan anda bertambah teruk, seperti ibuprofen dan aspirin.
Langkah pencegahan demam denggi
Mempraktikkan langkah pencegahan boleh membantu mencegah pembiakan nyamuk sekaligus menghindarkan jangkitan denggi.
Mengatasi pembiakan
Proses pembiakan nyamuk Aedes betina mengambil masa hanya lapan hingga sepuluh hari sahaja, tetapi ia boleh bertelur sebanyak 100 biji dalam satu masa.
Membuang air yang bertakung adalah langkah utama dalam mencegah pembiakan nyamuk Aedes. Anda boleh mempraktikkan langkah yang berikut:
- Elakkan menyimpan bekas yang boleh mengumpul air seperti piring pasu, tong air, tayar, baldi, dan tin-tin. Anda juga boleh terbalikkan bekas-bekas tersebut supaya
- Jangan membuang plastik beg merata-rata kerana ia boleh memerangkap takungan air.
- Sentiasa menukar air dalam pasu setiap minggu.
- Pastikan piring pasu bunga yang basah dan kolah bilik mandi dibasuh serta digosok sekurang-kurangnya seminggu sekali.
- Bersihkan longkang atau parit yang tersumbat agar air dapat mengalir.
- Tangki air dan bekas tadahan hujan sebaiknya ditutup dengan rapat.
- Jika ada kolam hiasan, digalakkan cuci dengan kerap. Anda juga boleh membela ikan supaya jentik-jentik di permukaan air dapat dikurangkan.
- Kerap menukar air minuman haiwan peliharaan anda.
Melindungi diri daripada gigitan nyamuk
Membasmi semua nyamuk adalah perkara yang mustahil, tetapi kita boleh cuba untuk mengurangkan ia daripada berkeliaran di dalam rumah.
Misalnya anda telah dijangkiti denggi, anda harus menjauhkan diri daripada digigit nyamuk sebaik mungkin terutamanya pada minggu pertama. Ini kerana virus denggi berkemungkinan masih ada dalam badan anda, jadi jika anda digigit lagi, risiko untuk ia merebak kepada ahli serumah yang lain adalah sangat tinggi.
Antara langkah yang dapat membantu adalah:
- Menggunakan ubat nyamuk dalam bentuk penyembur. Lingkaran nyamuk tidak digalakkan kerana ia lebih berbahaya disebabkan oleh bahan toksin yang boleh memudaratkan kesihatan jika dinyalakan sepanjang malam.
- Perangkap nyamuk elektrik juga boleh digunakan.
- Tidur dalam kelambu.
- Memasang jaring atau skrin serangga pada tingkap dan pintu.
- Memakai pakaian yang berwarna terang dan menutupi badan (lengan dan seluar panjang).
- Mengasingkan pesakit denggi di bilik khas.
Menjaga diri sebelum dan selepas melancong
Jika anda bercadang untuk pergi melancong terutamanya untuk tujuan berkhemah, pastikan anda membawa kit kesihatan dan barang keperluan termasuklah ubat nyamuk serta perubatan.
Sekiranya anda mula mengalami simptom demam dan sengal badan selepas pulang daripada melancong, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor anda serta merta.
Menjadi ahli komuniti yang bertanggungjawab
Kita harus mendidik dari kecil mengenai kepentingan menjaga persekitaran. Contohnya, pihak sekolah dan rukun tetangga boleh mengadakan kempen pembersihan alam sekitar dan gotong-royong secara mingguan.
Bagi pesakit denggi, anda dinasihatkan untuk tidak berlengah membuat laporan kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah agar mereka akan segera membuat semburan kabus (fogging) di sekitar kawasan perumahan anda. Senarai Pejabat Kesihatan Daerah boleh disemak di sini.
- Bernama. (2022, 13 Oktober). Kes demam denggi meningkat pada Minggu Epidemiologi ke-40. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kes-demam-denggi-meningkat-pada-minggu-epidemiologi-ke40-385802
- Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit. (2021, 20 September). Gejala dan Rawatan. Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia A.S. https://www.cdc.gov/dengue/symptoms/index.html
- Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit. (n.d.). Bagaimana untuk mencegah penyebaran nyamuk yang menyebabkan denggi. https://www.cdc.gov/dengue/resources/vectorcontrolsheetdengue.pdf
- Chandra, A. M. (n.d.). Apabila demam denggi menjadi denggi yang teruk. HealthXchange. https://www.healthxchange.sg/children/health-scares-outbreaks/dengue-fever-severe-dengue
- Kaur, J. (2020, 28 Ogos). Demam denggi. MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/en/dengue-fever/
- Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020, 28 Februari). Demam denggi. https://www.infosihat.gov.my/demam-denggi.html
- Kementerian Kesihatan Malaysia. (n.d.). Senarai pejabat kesihatan daerah. https://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/store_view/5?items=25&page=1
- Kolimenakis, A., Heinz, S., Wilson, M. L., Winkler, V., Yakob, L., Michaelakis, A., Papachristos, D., Richardson, C., & Horstick, O. (2021). Peranan pembandaran dalam penyebaran nyamuk Aedes dan penyakit yang mereka hantar-Kajian sistematik. PLoS Mengabaikan Penyakit Tropika, 15(9). https://doi.org/10.1371/journal.pntd.0009631
- Mamuna Naz, Najeeb Rehman, Mohd Nazam Ansari, Mehnaz Kamal, Majid A. Ganaie, Amani S. Awaad, Saleh I. Alqasoumi. (2019). Kajian perbandingan ketoksikan subkronik penghalau nyamuk (gegelung, tikar dan cecair) pada organ-organ penting dalam tikus albino Switzerland, Jurnal Farmaseutikal Saudi, 27 (3). https://doi.org/10.1016/j.jsps.2018.12.002.
- Ryan, S. J., Carlson, C. J., Mordecai, E. A., & Johnson, L. R. (2019). Pengembangan global dan pengagihan semula risiko penghantaran virus bawaan Aedes dengan perubahan iklim. PLOS Mengabaikan Penyakit Tropika, 13(3). https://doi.org/10.1371/journal.pntd.0007213
- Senarai Pejabat Kesihatan Daerah (n.d.). Diambil daripada https://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/store_view/5?items=25&page=1
- Boleh dipetik. (n.d.). Penghantaran denggi. Pendidikan Alam. https://www.nature.com/scitable/topicpage/dengue-transmission-22399758/
- Pertubuhan Kesihatan Sedunia. (2022, 10 Januari). Denggi dan denggi yang teruk. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/dengue-and-severe-dengue#:~:text=Dengue%20is%20a%20viral%20infection,called%20dengue%20virus%20(DENV)