Polio 101: Gejala, Punca, Rawatan & Pencegahan

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus polio. Ketahui lebih lanjut tentang gejala, punca dan rawatan yang disediakan di Malaysia

by Ain Nadzirah

Polio, atau poliomyelitis, merupakan penyakit berjangkit berpunca daripada jangkitan virus polio yang boleh menyerang saraf tunjang dan saraf otak.

Kanak-kanak sering menjadi mangsa utama penyakit polio, akan tetapi, individu dewasa yang belum divaksin juga boleh terjangkit.

Kebanyakan pesakit polio tidak menunjukkan sebarang gejala, tetapi ia juga berupaya untuk menyebabkan kelumpuhan kekal dan membawa maut. 

Terdapat tiga jenis virus polio iaitu wild poliovirus 1 (WPV1), wild poliovirus (WPV2), dan wild poliovirus 3 (WPV3). Pada 2019, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan WPV2 dan WPV3 telah berjaya dibasmi di seluruh dunia. Hampir semua negara telah bebas daripada penularan polio, kecuali negara Pakistan dan Afghanistan yang masih berstatus endemik.  

Jenis polio

Terdapat tiga jenis polio utama iaitu:

  1. Polio non-paralitik
  2. Polio paralitik
  3. Sindrom pasca polio 

Gejala polio

Pesakit polio yang tidak menunjukkan sebarang simptom adalah sesuatu yang normal. Namun, polio tahap serius mampu memberi kesan kepada fungsi otot dan pernafasan anda.

  • Gejala polio non-paralitik

Non-paralitik bermaksud gejala yang dialami tidak membawa kepada kelumpuhan. Peringkat awal polio non-paralitik dikenali sebagai polio abortif yang bergejala ringan. Simptom akan hilang dengan sendiri selepas beberapa hari.

Seramai satu daripada empat individu yang dijangkiti polio boleh mendapat tanda-tanda awal polio non-paralitik menyerupai gejala demam selsema atau influenza seperti:

  • Demam
  • Sakit tekak
  • Sakit kepala
  • Kelesuan
  • Muntah-muntah atau rasa loya

Gejala polio abortif boleh berterusan dan menimbulkan gejala-gejala baru iaitu:

  • Meningitis (radang di bahagian otak dan tulang sum sum)
  • Rasa sensasi menyucuk atau kesakitan pada lengan dan kaki.
  • Rasa tegang di bahagian leher.
  • Sensitif kepada cahaya (fotofobia).
  • Gejala polio paralitik

Kurang daripada satu peratus pesakit polio berkemungkinan untuk mengalami gejala polio paralitik—iaitu gejala tahap serius yang boleh membawa kepada kelumpuhan sementara atau kekal. Polio paralitik adalah disebabkan oleh jangkitan virus polio yang menyerang saraf otak dan saraf tunjang.

Antara simptom polio paralitik termasuk:

  • Otot menjadi kebas
  • Kekejangan otot
  • Kehilangan daya refleks 
  • Otot tangan dan kaki menjadi lemah
  • Kelumpuhan di tangan, kaki atau kedua-duanya (polio spinal atau saraf tunjang)
  • Kelumpuhan di pangkal otak (polio bulbar) yang menyebabkan kesukaran untuk bernafas, bercakap, dan menelan 

Polio bulbospinal juga boleh berlaku, iaitu kelumpuhan di saraf tunjang dan di pangkal otak secara serentak. 

Jika polio paralitik menyerang sistem saraf pernafasan, ia boleh menyebabkan kematian.  

  • Gejala sindrom pasca polio

Polio boleh kembali 15 hingga 40 tahun selepas anda telah sembuh daripada jangkitan polio yang pertama—keadaan ini dipanggil sindrom pasca polio (SPP). Hanya individu yang ada sejarah polio sahaja boleh mengalami sindrom pasca polio. 

Berbeza dengan jenis polio lain, SPP tidak berjangkit kerana ia bukan berpunca daripada jangkitan virus polio. Sebaliknya, ia adalah hasil daripada kemerosotan kekuatan otot akibat daripada polio yang pertama. 

Walaupun kesan sampingan ini tidak membawa maut, ia boleh menyebabkan komplikasi jangka panjang yang menghindarkan anda untuk menjalani kehidupan seharian dengan baik. 

Contoh gejala sindrom pasca polio ialah:

  • Kelemahan otot dan sendi secara berpanjangan
  • Sakit otot dan sendi
  • Saiz otot semakin kecil (atrofi otot)
  • Mudah rasa letih dan kesejukan
  • Sukar untuk bernafas, menelan, bercakap, dan batuk
  • Masalah pernafasan ketika tidur seperti sleep apnea
  • Dehidrasi dan malnutrisi
  • Kemurungan

Punca polio & cara penularan polio

Polio berpunca daripada jangkitan virus polio yang mudah merebak daripada individu-ke-individu secara laluan faecal-oral, iaitu daripada najis yang telah dijangkiti polio masuk ke dalam badan melalui mulut anda. 

Terdapat pelbagai cara jangkitan ini boleh berlaku apabila anda:

  • Tidak membasuh tangan selepas keluar daripada tandas atau menukar lampin bayi. 
  • Menyentuh mulut tanpa mencuci tangan dengan betul.
  • Makan atau minum sesuatu yang telah tercemar.
  • Menyentuh permukaan atau objek yang telah tercemar. 
  • Terkena titisan batuk atau bersin daripada pesakit polio.

Virus polio yang telah masuk ke dalam badan boleh membiak dalam usus anda dan kemudian merebak ke sistem saraf. Virus tersebut akan terikut dalam najis anda selama beberapa minggu dan boleh terjangkit kepada individu lain.  

Individu yang tiada gejala polio masih boleh menyebarkan virus polio melalui najis mereka. 

Faktor risiko polio

Risiko untuk mendapat jangkitan penyakit polio adalah lebih tinggi jika anda:

  • Belum divaksin.
  • Kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. 
  • Wanita hamil.
  • Mempunyai sistem imun yang lemah (seperti pesakit HIV dan pesakit kanser yang menjalani kemoterapi)
  • Telah melawat kawasan di mana penyakit polio masih ada. 
  • Tinggal di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air bersih.
  • Sedang menjaga pesakit polio. 
  • Tidak mempraktikkan amalan kebersihan dalam kehidupan seharian. 

Mendiagnosis polio

Memandangkan tidak semua individu menunjukkan gejala polio yang jelas, doktor anda mungkin perlu menjalankan beberapa ujian makmal untuk mendapatkan diagnosis yang lebih tepat.

Langkah 1 : Menyemak rekod medikal

Doktor anda akan melihat sejarah medikal untuk memastikan jika anda:

  • Telah menerima vaksin polio.
  • Pernah dijangkiti virus polio.

Anda juga perlu memberitahu doktor jika anda baru sahaja pulang daripada melancong atau melawat kawasan-kawasan tertentu.

Langkah 2 : Pemeriksaan fizikal

Tubuh badan anda akan diperiksa untuk mendiagnosis gejala-gejala yang dialami. Anda perlu menunjukkan bahagian yang spesifik kepada doktor seperti kejang leher, kesakitan otot kaki atau lengan, sakit di belakang badan, dan kesukaran untuk mengangkat kepala dalam posisi baring. 

Doktor anda mungkin akan cuba untuk menggerakkan anggota badan tertentu untuk menguji tahap kesakitan.

Langkah 3 : Mengambil sampel 

Jika anda disyaki mempunyai polio, sampel cecair badan yang berikut mungkin akan diambil:

  • Najis
  • Air liur dari tekak
  • Darah
  • Air kencing
  • Cecair cerebrospinal yang berada di sekelilling otak dan saraf tunjang 

Sampel tersebut akan dihantar ke makmal untuk diuji bagi memastikan sama ada terdapat virus polio dalam badan anda. 

Rawatan polio

Setakat ini, tiada penawar atau perubatan khas lagi bagi merawat polio. 

  • Rawatan sokongan

Rawatan penyakit polio hanya bertindak sebagai rawatan sokongan untuk tujuan melegakan dan meringankan gejala polio anda.

Antara contoh rawatan sokongan polio yang boleh diamalkan secara kendiri di rumah adalah:

    • memperbanyak masa berehat. 
    • mengekalkan hidrasi badan melalui pengambilan cecair (air atau sup) yang secukupnya.
    • menggunakan pek haba atau tuala suam untuk mengurangkan sakit otot dan sendi.
    • mengambil ubat tahan sakit atas nasihat dan preskripsi doktor.  
    • Bantuan di rumah
  • Fisioterapi

Jika polio anda mencapai tahap kelumpuhan, doktor anda akan berunding dengan pakar fisioterapi yang boleh mengesyorkan pelbagai jenis senaman dan terapi fizikal untuk memastikan:

  • pergerakan aktif anggota badan.
  • kekuatan otot dan daya tahan tubuh. 
  • pengawalan pernafasan dan kesihatan jantung
Rawatan sokongan dan fisioterapi adalah antara perkhidmatan paleatif di rumah yang disediakan oleh Homage untuk meningkatkan kualiti hidup anda sebagai pesakit. Hubungi Penasihat Penjagaan kami di 016-299 2188 atau muat turun aplikasi Homage untuk membuat temujanji percuma secara atas talian.
  • Bantuan pernafasan

Bagi pesakit polio yang sistem pernafasannya telah terjejas, pihak hospital kebiasaan akan menyediakan bantuan mesin ventilator.  

Pencegahan Polio

Melindungi diri anda daripada jangkitan polio turut memberi perlindungan kepada individu lain, sekaligus mengurangkan kadar penularan.

  • Vaksin polio

Langkah terbaik untuk menjauhi jangkitan polio adalah melalui vaksinasi. Di Malaysia, vaksin polio termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaaniaitu senarai 13 vaksin yang wajib dipenuhi oleh bayi dan kanak-kanak. Anda boleh membawa anak-anak tersayang ke klinik kerajaan berdekatan untuk mendapatkan vaksin polio secara percuma. 

Vaksin polio diberikan sebagai suntikan enam serangkai bersama lima vaksin lain seperti difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), hepatitis, dan Haemophilus influenzae type B. 

Jenis vaksin polio terbahagi kepada dua, iaitu:

  1. Oral poliovirus vaccine (OPV) – diberi dalam titisan ke dalam mulut
  2. Inactivated poliovirus vaccine (IPV) – diberi melalui suntikan

Mulai tahun 2010, OPV telah ditukarkan kepada IPV dalam Program Imunisasi Kebangsaan. 

Jumlah dos berlainan mengikut umur:

  • Kanak-kanak : Tiga dos IPV pada usia 2, 3, dan 5 bulan. Dos penggalak diberi pada usia 18 bulan. Usia tersebut telah ditetapkan dalam jadual NIP. 
  • Individu dewasa : Dua dos IPV dalam masa dua bulan. Dos penggalak diberi 8 hingga 12 bulan selepas suntikan kedua. 

Divaksin bukan bermaksud anda tidak akan dijangkiti polio, tetapi ia berupaya untuk mengurangkan risiko dan komplikasi yang teruk jika anda mendapat polio. 

  • Amalkan rutin kebersihan

Menjaga kebersihan diri dan persekitaran dapat menghindarkan virus polio daripada merebak dengan mudah.

Antara amalan yang anda boleh praktikkan dalam kehidupan seharian adalah:

  • Membasuh tangan secara menyeluruh dengan sabun atau sanitizer, terutamanya selepas menggunakan tandas dan selepas menggantikan lampin bayi.
  • Biasakan mencuci tandas sekurang-kurangnya satu atau dua kali seminggu. Pastikan mangkuk tandas sentiasa bersih. 
  • Membasuh bahan-bahan masakan mentah dengan bersih.
  • Memastikan sumber air minuman ditapis atau dimasak.
  • Elakkan membiar makanan tidak bertudung. 
  • Jauhi premis makanan yang tidak menjaga kebersihan.
  • Kerap mencucikan mainan anak anda dengan cecair pembasmi kuman.

Apakah vaccine-derived poliovirus?

Vaccine-derived poliovirus (VDPV) adalah virus daripada jangkitan polio yang disebabkan oleh vaksin polio sendiri

Vaksin polio jenis OPV yang diberi melalui titisan dalam mulut, mengandungi virus polio yang dilemahkan. Apabila anda menerima OPV, virus polio dalam vaksin tersebut akan berada dalam usus anda dan kemudian dikeluarkan melalui najis. 

Walaupun virus polio dalam VDPV adalah versi yang lemah, ia tetap boleh berjangkit kepada individu lain terutamanya kepada mereka yang belum divaksin dan yang belum lengkap vaksin polio. Namun, manfaat vaksin OPV adalah jauh lebih banyak daripada risiko VDPV. 

Polio di Malaysia

Satu kes polio muncul di Sabah, Malaysia pada tahun 2019 setelah 27 tahun mencatat sifar kes sejak 1992. Kes tersebut melibatkan seorang kanak-kanak dari Tuaran, Sabah yang berusia tiga bulan yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi kerana mengalami gejala demam dan kelemahan anggota badan. 

Serentak dengan usaha pengawalan Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia kemudian telah menjalankan Kempen Imunisasi Polio di Sabah sehingga tahun 2021 untuk memastikan kanak-kanak di negeri tersebut mendapat vaksin polio yang lengkap. 

Pada 10 September 2021, WHO mengumumkan Malaysia sebagai negara bebas polio.

References
Category
Acute Conditions
Tags
About the Writer
Ain Nadzirah
Ain is just another small-town film buff who treats her car rides as a stage to belt out show tunes and musicals. It is not a strange sight to spot her talking to her 14 cats at home, or arguing with her grandma over having too many (and counting) potted flowers.
Make Home Care Personal To Your Loved One
curve

Make Home Care Personal To Your Loved One

Get started with a free consultation today, and learn why thousands of Malaysians trust Homage to deliver the best care in their homes.

Get Care Now