Homage | Makanan untuk Pesakit Kencing Manis Semasa Berpuasa

Makanan untuk Pesakit Kencing Manis Semasa Berpuasa

Pesakit kencing manis tidak diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan. Namun jika teringin, makanan ini amat sesuai untuk mereka!

by Ain Nadzirah

Umat Islam menjalani ibadah puasa selama 13 jam pada bulan Ramadan. Tempoh yang lama ini boleh memberi kesan kepada amalan pemakanan pesakit kencing manis ketika berpuasa. Dengan pengurusan yang betul dan persetujuan doktor, pesakit diabetes juga berupaya untuk memenuhi kewajipan berpuasa sebaik yang mungkin.

Bolehkah pesakit diabetes berpuasa?

Pesakit kencing manis tergolong dalam kumpulan individu yang tidak wajib untuk menjalani ibadah puasa. Ini adalah kerana berpuasa berkemungkinan boleh memudaratkan kesihatan sesetengah pesakit diabetes. Menjaga nyawa turut menjadi keutamaan yang besar dalam agama Islam. 

Namun, jika anda sebagai pesakit kencing manis ingin berpuasa, terdapat beberapa perkara anda perlu pertimbangkan seperti risiko kesihatan dan cara menangani diabetes anda ketika berpuasa. 

Individu lain yang termasuk dalam golongan tidak wajib untuk berpuasa adalah:

  • Kanak-kanak belum baligh
  • Warga emas
  • Tidak waras akal
  • Individu yang bermusafir (dalam perjalanan jauh)
  • Wanita hamil, yang sedang menyusukan bayi, yang dalam haid 

Risiko jika pesakit diabetes mahu berpuasa

Antara risiko utama yang dibimbangi mungkin lakan dialami oleh pesakit kencing manis yang berpuasa adalah hipoglikemia dan hiperglikemia. 

Hipoglikemia

Tanpa pengambilan makanan dan minuman selama beberapa jam menyebabkan badan kita perlu menggunakan glukosa lebih banyak daripada biasa bagi membekalkan tenaga. Keadaan ini tidak menjadi masalah bagi individu sihat kerana hormon insulin mereka mencukupi. Namun, bagi pesakit diabetes yang mempunyai masalah insulin, ia boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius. 

Jika anda ialah pesakit kencing manis yang mengambil suntikan insulin untuk mengurangkan gula darah, anda seharusnya makan lebih kurang 30 minit selepas itu. Tetapi apabila anda berpuasa, ia akan menurunkan lagi paras gula darah anda sehingga mencecah bawah tahap normal, iaitu kurang daripada 70 mg/dL (hipoglikemia).

Antara simptom awal hipoglikemia yang anda perlu ketahui termasuk:

  • Degupan jantung laju
  • Tidak bertenaga dan keletihan
  • Pucat
  • Rasa gelisah
  • Mudah marah
  • Kepeningan 
  • Berpeluh
  • Kelaparan yang melampau atau juga rasa mual
  • Sukar untuk menumpukan perhatian
  • Badan menggigil

Hiperglikemia

Paras gula darah anda juga boleh naik secara mendadak ketika berbuka puasa dan waktu sahur sehingga melebihi paras normal iaitu lebih daripada 125 mg/dL (hiperglikemia).

Satu kajian menunjukkan kadar hiperglikemia yang lebih tinggi berbanding hipoglikemia dalam kalangan pesakit kencing manis sewaktu berpuasa pada bulan Ramadan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pengambilan makanan yang berkarbohidrat tinggi seperti makanan bergoreng, serta minuman dan makanan manis. 

Kajian tersebut juga mendapati kenaikan paras gula selepas bersahur. Anda mungkin cenderung untuk makan dalam kuantiti yang banyak untuk mengelak rasa lapar dan juga menghindari penurunan gula darah pada siang hari. Malangnya, hal ini boleh menyumbang kepada hiperglikemia. 

Pastikan anda perhatikan tanda-tanda hiperglikemik seperti:

  • Kehausan melampau 
  • Kerap membuang air kecil
  • Sakit kepala
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Penurunan berat badan

Golongan pesakit kencing manis yang tidak dinasihatkan berpuasa

Doktor anda mungkin tidak menggalakkan untuk berpuasa jika anda: 

  • Mempunyai penyakit kencing manis tahap pertama (Type 1 diabetes)
  • Ada sejarah penurunan darah gula yang teruk
  • Ada komplikasi kesihatan lain seperti masalah buah pinggang dan masalah jantung

Dalam kes ini, terdapat lebih banyak risiko berbanding manfaat. 

Tips pengurusan diabetes semasa Ramadan

Jika anda seorang pesakit kencing manis yang mengambil keputusan untuk berpuasa, terdapat beberapa langkah penjagaan yang perlu diambil: 

  • Berbincang dengan doktor

Mendapatkan nasihat daripada doktor anda seawalnya satu atau dua bulan sebelum Ramadan adalah sangat penting sebelum memulakan amalan puasa. 

Tujuannya untuk melaraskan jadual dan dos perubatan diabetes anda ketika bulan Ramadan. Jenis perubatan diabetes anda juga mungkin perlu ditukarkan kepada yang lebih sesuai. Doktor anda boleh memberikan cara menangani diabetes dari segi pemakanan dan penjagaan paras gula agar ia kekal terkawal ketika berpuasa. 

Peringatan : Jangan sesekali mengubah waktu makan ubat diabetes anda tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu. 

  • Lakukan percubaan pra-Ramadan

Tips yang efektif anda boleh praktikkan sebelum berbincang dengan doktor anda adalah dengan mencuba berpuasa beberapa bulan sebelum Ramadan. Cara ini berguna bagi mengenalpasti risiko serta komplikasi yang mungkin akan timbul.

Jika anda mengalami sebarang masalah kesihatan dalam tempoh percubaan ini, anda boleh memaklumkan kepada doktor untuk menilai sama ada amalan puasa selamat atau tidak untuk anda. 

Percubaan puasa ini turut berfaedah bagi melatih badan anda untuk menyesuaikan diri dengan perubahan masa makan dan jadual pengambilan ubat diabetes.

  • Kerap memantau bacaan paras gula

Sebagai pesakit kencing manis, anda hendaklah sentiasa memantau paras gula ketika berpuasa bagi memastikan ia tidak terlalu rendah atau terlalu tinggi. Sekiranya bacaan paras gula anda membimbangkan, adalah lebih baik untuk segera berbuka puasa dan mendapatkan pemeriksaan doktor. Mengambil ujian gula darah tidak membatalkan puasa. 

Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan waktu terbaik untuk memeriksa paras gula darah adalah:

    • sebelum bersahur dan dua jam selepas sahur
    • sebelum berbuka puasa dan dua jam selepas berbuka puasa

Namun, kekerapan tersebut mungkin berbeza mengikut keadaan diabetes anda.

  • Elakkan makan secara berlebihan ketika waktu berbuka dan sahur

Seperti yang diketahui, makan dalam kuantiti yang banyak boleh membawa kepada hiperglikemia. Sebaliknya, anda perlu makan secara sederhana dengan makanan yang mengandungi indeks glikemik rendah dan kandungan serat yang tinggi. 

Hal ini disebabkan kedua-dua jenis makanan ini diserap ke dalam badan atau darah anda pada kadar yang lebih perlahan. Jadi, bukan sahaja ia dapat menghindarkan paras gula darah anda daripada naik secara mendadak, ia turut mampu membuatkan kekenyangan anda bertahan lebih lama. 

Gantikan makanan bergoreng atau makanan segera dengan makanan yang seimbang dan berkhasiat. 

  • Hindari makanan manis

Kemanisan merupakan musuh utama kepada pesakit kencing manis. Walaupun  ia perkara normal untuk kita rasa tergoda dengan makanan dan minuman manis sewaktu berbuka puasa, anda dinasihatkan untuk menjauhi kemanisan sebanyak yang mungkin. 

Sebagai pengganti kepada makanan manis, anda boleh mengambil dua hingga tiga biji kurma atau beberapa hirisan buah sewaktu berbuka puasa bagi menstabilkan kembali paras gula anda setelah berpuasa selama 13 jam. 

  • Banyakkan minum air 

Pengambilan air yang cukup sangat penting untuk pesakit diabetes bagi melarutkan gula dalam darah agar mudah disingkirkan dari badan melalui air kencing. Kesannya, paras gula darah tinggi dapat dielakkan kerana gula tidak terkumpul dalam badan. 

Minum air secukupnya turut membantu menangani masalah dehidrasi yang terjadi akibat penyakit diabetes. 

Anda dinasihatkan sebaik-baiknya untuk menjadikan air putih sebagai minuman utama, tetapi sumber cecair lain seperti buah-buahan, sup, dan teh herba juga boleh dijadikan pilihan tambahan.

  • Elakkan senaman berat  

Untuk pengetahuan anda senaman sangat berfaedah bagi pesakit diabetes. Apabila anda bersenam, otot anda akan menggunakan lebih banyak glukosa dalam badan, yang berguna untuk menurunkan paras gula darah. 

Namun, anda hanya boleh melakukan senaman ringan sahaja ketika berpuasa seperti berjalan kaki di bazar Ramadan, yoga, berbasikal, ataupun bercucuk tanam. Waktu senaman ideal adalah dua hingga tiga jam sebelum dan selepas berbuka puasa. Pastikan senaman anda tidak melebihi 30 minit untuk mengelakkan dehidrasi. 

Perhatian : Berhenti bersenam dengan segera jika anda mengalami kepeningan, mual, atau kesukaran bernafas. 

Makanan yang sesuai untuk pesakit diabetes ketika berpuasa

Homage | Makanan untuk Pesakit Kencing Manis Semasa Berpuasa

Karbohidrat rendah glikemik

Terdapat dua jenis karbohidrat yang anda perlu tahu:

  • Karbohidrat ringkas : Cepat dihadam dan diserap dalam usus anda (indeks glikemik tinggi) yang boleh menyebabkan hiperglikemia. Karbohidrat jenis ini juga tidak bernutrien contohnya seperti gula-gula, gula pasir, kordial, jem, susu pekat manis, air berkarbonat, dan jus.
  • Karbohidrat kompleks : Mengambil masa lebih lama untuk dihadam dan diserap dalam usus (indeks glikemik rendah) yang membantu mengawal paras gula darah. Karbohidrat jenis ini kurang diproses dan berserat tinggi seperti beras perang, roti wholemeal, kekacang, oat, capati, legum, buah-buahan serta sayur-sayuran.

Bagi pesakit kencing manis, anda digalakkan untuk mengamalkan pengambilan makanan yang terdiri daripada karbohidrat kompleks. 

Jenis beras sihat

Tahukah anda beras putih yang sering menjadi sajian ruji rakyat Malaysia sebenarnya merupakan pilihan kurang sihat, terutamanya jika anda mempunyai penyakit kencing manis? 

Hal ini adalah kerana paras indeks glisemik untuk beras putih adalah paling tinggi antara 4 jenis beras yang terdapat di pasaran tempatan kita. Sebaliknya, anda boleh menggantikan beras putih kepada pilihan beras yang lebih sihat seperti beras perang, beras merah, dan beras hitam. 

Jika anda masih ingin menggunakan beras putih, pastikan anda memilih beras putih jenis panjang seperti beras basmati, berbanding beras jasmine yang mempunyai paras indeks glisemik tinggi.

Protein kurang lemak

Dalam diet diabetes, ia amat penting untuk memilih protein yang mengandungi kurang lemak dan karbohidrat. 

Antara contoh protein kurang lemak termasuk:

  • Ikan
  • Ayam tanpa kulit 
  • Daging tanpa lemak
  • Telur ayam
  • Avokado

Apabila anda memasak mana-mana sumber protein, anda dinasihatkan untuk mengamal cara masakan yang lebih sihat seperti memanggang atau membakar dan elakkan kaedah menggoreng.

Buah-buahan 

Kebanyakan buah-buahan segar mempunyai paras indeks glisemik yang rendah dan merupakan sumber antioksidan serta serat yang berkhasiat untuk anda. 

Namun, anda perlu berjaga-jaga dengan kuantiti pengambilannya. Sebaik-baiknya anda boleh makan buah-buahan segar sebanyak satu hingga dua cawan buah-buahan pada setiap hidangan.

Anda disarankan juga mengelakkan buah-buahan dalam tin atau jus yang telah diproses kerana kandungan gulanya yang sangat tinggi. 

Juadah Raya 

food-1

(Image Source: trysmartbite)

Walaupun Ramadan baru sahaja tiba, sesetengah keluarga Muslim sudah pun berhidang dengan juadah dan snek raya. 

Bagi mengawal paras gula darah anda, anda boleh mengisi perut dengan air putih terlebih dahulu agar anda akan merasa cepat kenyang, seterusnya dapat mengelak makan secara berlebihan. Jika terdapat pelbagai jenis hidangan, pastikan anda makan dalam kuantiti yang sedikit. Air kordial, air kotak, dan air berkarbonat sama sekali tidak digalakkan. 

Contoh panduan pemakanan bagi pesakit diabetes ketika berpuasa:

Waktu Ramadan Contoh menu
Ketika berbuka puasa

(lebih kurang 7.30 malam)

  • 1 hidangan buah
  • 2 hingga 3 biji kurma
  • 1 keping kuih kurang manis
  • 1 gelas susu rendah lemak
Selepas solat maghrib 

(lebih kurang pukul 8 malam)

  • 1 1/2 cawan nasi (boleh diganti dengan mi atau mihun)
  • 1 hidangan ikan atau ayam (dipanggang atau dibakar)
  • 1 cawan sayur
  • Air putih
Selepas solat terawih 

(lebih kurang pukul 10 malam)

  • 3 keping biskut kraker (boleh diganti dengan 1 keping kuih kurang manis atau roti wholemeal)
  • 1 gelas susu rendah lemak
Sahur 

(4.30 hingga 5.30 pagi)

  • 1/2 cawan mi atau mihun
  • 1 cawan sayur
  • 1 hidangan daging atau telur ayam
  • 1 potong buah
  • Air putih

Jika anda ingin bersilih ganti makanan sihat lain pada setiap juadah, anda boleh rujuk senarai pertukaran makanan bagi diet diabetes di sini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Bahagian Kawalan Penyakit). 

Mencari sokongan tambahan untuk menguruskan orang tersayang anda yang mengidap diabetes semasa Ramadan & Raya?

Menangani orang tersayang yang mempunyai penyakit kencing manis memerlukan pengurusan yang berterusan sepanjang hari. Pada masa yang sama, musim Ramadan dan Raya adalah antara waktu yang paling sibuk bagi umat Islam. Akibatnya, penjaga berkemungkinan akan terlepas pandang tentang penjagaan diabetes orang tua anda. 

Inilah tujuan utama Homage ditubuhkan, iaitu mengambil alih sebahagian beban tanggungjawab anda sebagai penjaga. Di bawah perkhidmatan penjagaan diabetes kami, pakar terlatih akan membantu memantau jadual perubatan diabetes dan memberikan suntikan insulin, serta mengambil bacaan paras gula anda—semuanya dilakukan dari keselesaan rumah anda. 

Dapatkan konsultasi kesihatan secara percuma bersama Homage sekarang dengan mengisi ruangan dibawah!






  • By submitting this form, you agree that Homage may collect and use your personal data, which you have provided in this form, in accordance with Homage’s Data Protection Policy
  • This field is for validation purposes and should be left unchanged.


 

References

About the Writer
Ain Nadzirah
Ain is just another small-town film buff who treats her car rides as a stage to belt out show tunes and musicals. It is not a strange sight to spot her talking to her 14 cats at home, or arguing with her grandma over having too many (and counting) potted flowers.
Make Home Care Personal To Your Loved One
curve

Make Home Care Personal To Your Loved One

Get started with a free consultation today, and learn why thousands of Malaysians trust Homage to deliver the best care in their homes.

Get Care Now
whatsapp