Ketahui Menopaus: Kesan dan Tip untuk Mengatasi

Menopaus ataupun ‘putus haid' bukan sejenis penyakit tapi proses penuaan normal bagi golongan wanita. Ketahui lebih lanjut dalam artikel ini.

by Ain Nadzirah

Apakah itu Menopaus? 

Menopaus adalah keadaan di mana anda tidak lagi didatangi haid selama 12 bulan berturut-turut. Proses ini juga dikenali sebagai ‘putus haid’ kerana ia menandakan tamatnya kitaran haid anda secara kekal dan penghujung kepada kesuburan anda. 

Menopaus bukanlah sejenis penyakit. Ia merupakan sebahagian daripada proses penuaan normal bagi golongan wanita. Sesiapa yang telah melalui haid akan mengalami fasa menopaus.

Bila Menopaus Berlaku?

Menopaus bermula dalam sekitar lingkungan umur 45 hingga 55 tahun. Purata usia menopaus bagi wanita di Malaysia adalah 50.7 tahun.

Oleh kerana setiap wanita mengalami kitaran haid yang unik dan berbeza ketika tempoh reproduktif, usia berlakunya menopaus boleh datang lebih awal ataupun lebih lewat daripada biasa. Faktor-faktor lain seperti berat badan, genetik, keadaan kesihatan juga memainkan peranan. 

Menopaus yang berlaku sebelum umur 45 tahun dipanggil menopaus awal (early menopause), manakala menopaus sebelum usia 40 tahun digelar sebagai menopaus pramatang (premature menopause).

Kedatangan menopaus amat sukar dijangka. Ketahui lebih lanjut bagaimana menopaus terjadi dalam artikel ini.

Proses Menopaus

Simptom menopaus akan muncul beberapa tahun sebelum anda putus haid secara beransur-ansur. Bagi golongan wanita yang melalui menopaus, anda akan melalui tiga peringkat iaitu:

  • Perimenopause

Peringkat ini boleh bermula seawal 4 hingga 8 tahun sebelum putus haid sekitar usia 40-an. Sesetengah wanita mungkin mengalaminya beberapa bulan sebelum menopaus.  

Ketika perimenopaus, hormon anda akan menjadi tidak stabil di mana tahap hormon perkembangan wanita (estrogen) dalam badan akan berkurangan. Fizikal dan mental anda akan kerap mengalami simptom-simptom biasa menopause dalam fasa ini seperti hot flashes, haid tidak teratur, peluh malam, serta perubahan mood. 

Penting : Anda masih melalui kitaran haid dan boleh hamil pada peringkat ini. Jika anda ingin mengelakkan kehamilan, dapatkan nasihat doktor bagi mengetahui kaedah pencegah kehamilan terbaik buat anda.

  • Menopaus

Doktor akan mengesahkan diagnosis menopaus apabila anda sudah tidak melalui haid selama 12 bulan berturut-turut. 

Pada peringkat ini, ovari anda telah berhenti menghasilkan telur dan tahap hormon estrogen sangat rendah. 

  • Postmenopause

Tempoh seumur hidup selepas anda telah mencapai menopaus dikira sebagai postmenopaus. Simptom menopaus mungkin akan berterusan semasa peringkat ini. Namun, ia akan mula hilang dari semasa ke semasa. Pendarahan faraj selepas putus haid adalah tidak normal, jadi pastikan anda mendapat rawatan segera jika mengalaminya. 

Oleh kerana tahap estrogen menurun, wanita yang menjalani postmenopause berisiko lebih tinggi untuk mendapat masalah kesihatan lain seperti tulang rapuh (osteoporosis) dan penyakit jantung. 

Tanda-Tanda Menopaus Yang Anda Mungkin Tidak Ketahui

Anda mungkin boleh mengalami mana-mana simptom menopaus biasa yang berikut secara serentak atau berturut-turut:

  • Haid tidak teratur

Semasa peringkat perimenopaus, tahap hormon yang menurun menyebabkan gangguan pada kitaran haid anda. Antara perubahan pada haid seperti pendarahan yang lebih banyak atau lebih sedikit daripada biasa, dan jangka haid yang lebih lama.

Kitaran haid yang tidak konsisten membuatkan anda sukar untuk mengira dan meramal haid seterusnya.

  • Panas badan (hot flashes)

Tanda menopaus paling ketara yang sering dialami oleh wanita adalah sensasi panas secara tiba-tiba tanpa sebab pada bahagian atas badan atau pada seluruh badan.

Simptom ini boleh berlaku pada bila-bila masa, sama ada sekali seminggu atau lebih dari sekali dalam satu hari. Ia selalunya akan hilang selepas beberapa minit tetapi juga boleh melarat hingga satu jam. 

Hot flashes turut boleh menimbulkan tanda-tanda lain termasuk berpeluh, tompokan merah pada kulit, dan menggigil. 

  • Peluh malam (night sweats) dan masalah tidur

Panas badan yang teruk boleh membuatkan anda terjaga daripada tidur malam. Jika berterusan, ia mungkin beransur menjadi masalah insomnia dan ini akan menghalang anda daripada menikmati kualiti tidur yang baik. 

  • Kekeringan faraj 

Menopaus menjadikan dinding faraj lebih nipis, kering, dan kurang meregang—keadaan yang akan menyebabkan faraj mudah terluka semasa persetubuhan, sekaligus berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan seksual. 

  • Sakit pada payudara

Hormon yang tidak stabil menyebabkan ketidakselesaan pada payudara anda, terutamanya dalam fasa perimenopaus. Payudara berkemungkinan akan rasa bengkak, tegang, dan lebih sensitif, sama seperti yang anda alami ketika sindrom prahaid (premenstrual syndrome atau PMS). 

  • Kekeringan pada kulit

Tahap estrogen yang rendah mengakibatkan kulit hilang keupayaan untuk mengekalkan kelembapan. Penghasilan kolagen yang penting dalam memastikan keanjalan kulit turut menurun. Akibatnya, kulit anda terdedah kepada jerawat dan kedutan. 

  • Mata kering

Menopaus juga menyebabkan kelenjar mata kurang menghasilkan cecair dan minyak. Mata yang selalu kering boleh membawa kepada kegatalan.

  • Perubahan pada rambut

Rambut anda di kepala akan mudah gugur kerana ia menjadi semakin nipis, rapuh, dan kering. 

Anda juga mungkin akan mula tumbuh rambut pada bahagian muka seperti atas bibir dan dagu. Hal ini disebabkan penurunan pada hormon perkembangan wanita (estrogen) akibat menopaus yang menjadikan tahap hormon perkembangan lelaki (testosteron) lebih tinggi. Tahap hormon yang normal bagi golongan wanita adalah estrogen perlu melebihi testosteron. 

Kesan Sampingan Menopaus dan Cara Mengatasinya

Menopaus meningkatkan risiko anda untuk mengalami pelbagai masalah kesihatan dalam jangka panjang. Berikut adalah antara kesan menopaus yang anda perlu beri perhatian berserta tips menanganinya. 

Naik berat badan

Ketidakstabilan hormon akibat menopaus membawa kepada kadar metabolisme rendah. 

Ini bermaksud keupayaan badan anda untuk membakar lemak sangat perlahan dan semakin banyak lemak yang akan disimpan dalam badan. 

Osteoporosis

Badan kita sentiasa menjalani proses pembentukan semula tulang dengan bantuan hormon estrogen. Estrogen memberi isyarat kepada sel osteoklas untuk menyerap tulang-tulang lama, serta sel osteoblas bagi membina tulang baru. 

Apabila estrogen semakin kurang dihasilkan akibat menopaus, badan anda tidak berupaya untuk membentuk tulang baru yang sihat secukupnya. Lama-kelamaan, tulang anda akan hilang ketumpatan dan kekuatan sehingga boleh menjejaskan struktur tulang. Ini boleh membawa kepada penyakit osteoporosis yang menyebabkan anda berisiko tinggi untuk mengalami tulang mudah rapuh atau patah. 

Cara atasi 

  • Pertingkatkan pengambilan vitamin D dan kalsium melalui makanan (susu, yogurt, kuning telur) atau vitamin tambahan. Kalsium penting untuk membina tulang yang kuat, manakala vitamin D berperanan meningkatkan penyerapan kalsium dalam badan. 
  • Melakukan senaman menanggung berat badan seperti berjalan, tai chi, dan yoga. 
  • Jika risiko kerapuhan tulang anda tinggi, doktor anda mungkin akan mencadangkan terapi hormon melalui ubat-ubatan. 

Masalah jantung

Hormon estrogen mempunyai banyak kepentingan dalam memastikan jantung sihat. Antara peranannya termasuk menguatkan tisu jantung, mengawal tahap kolesterol, dan menjadikan saluran darah lebih fleksibel yang dapat menggalakkan aliran darah lancar. 

Kekurangan estrogen setelah menopaus boleh meningkatkan risiko anda untuk mengidap penyakit jantung, terutamanya jika bergabung dengan faktor lain seperti kurang aktiviti fizikal dan gaya hidup tidak sihat. 

Cara atasi 

  • Menjaga pemakanan melalui diet yang seimbang. Jauhi sumber makanan yang boleh meningkatkan tahap kolesterol. 
  • Rajin bersenam dan melakukan aktiviti fizikal bagi mengawal berat badan serta menguatkan jantung. 
  • Sentiasa pantau paras kolesterol dan tekanan darah. 
  • Elakkan tabiat merokok dan pengambilan alkohol. 

Hilang kawalan pundi kencing

Selain membantu pertumbuhan tulang dan menjaga kesihatan jantung, peranan estrogen lain termasuk menyokong otot pada lantai pelvik serta uretra (salurang kencing wanita).

Kesannya, anda mungkin mudah mengalami kebocoran air kencing terutamanya ketika bersin atau batuk. 

Cara atasi 

  • Mencuba senaman Kegel yang berguna untuk menguatkan lantai pelvik. 
  • Elakkan pengambilan kafein dan alkohol kerana kedua-duanya boleh menjadikan pundi kencing lebih aktif. 
  • Menurunkan berat badan agar tekanan pada pundi kencing dapat dikurangkan.

Perubahan emosi

Fasa menopaus adalah tempoh yang rumit bagi wanita, bukan sahaja disebabkan oleh perubahan pada hormon dan ketidakselesaan akibat simptom. 

Pada lingkungan usia ini juga berlaku pelbagai peristiwa penting dalam kehidupan anda yang boleh menyumbang kepada pergolakan emosi seperti anak-anak meninggalkan rumah untuk melanjutkan pengajian atau atas sebab perkahwinan, fikiran tentang tempoh bersara semakin dekat, umur yang semakin tua, kematian orang-orang tersayang dan sebagainya. 

Kajian menunjukkan peristiwa tersebut bersama simptom menopaus meningkatkan risiko kemurungan dan kebimbangan, serta masalah tidur malam dalam kalangan wanita yang menjalani menopaus. 

Cara atasi 

  • Kerap bersenam agar badan dapat menghasilkan hormon endorfin yang boleh memberikan mood positif.
  • Praktikkan teknik pernafasan dalam (deep breathing) dan meditasi untuk menenangkan minda. 
  • Mendapatkan tidur yang secukupnya. 
  • Berbual dengan ahli keluarga atau sahabat rapat. 
  • Menjalani sesi terapi. 

Keinginan seksual menurun

Kekurangan estrogen turut menyebabkan anda kehilangan dorongan seksual atau libido yang boleh menjejaskan keintiman antara pasangan suami isteri.

Selain itu, simptom-simptom menopaus lain juga  mengundang kepada libido rendah contohnya kekeringan faraj, stres, kesukaran tidur, ketidakstabilan mood, dan masalah mengawal pundi kencing.

Cara atasi 

  • Berbincang dengan doktor mengenai pengambilan pil hormon, termasuk potensi risiko yang terlibat. 
  • Menggunakan pelincir vagina untuk mengurangkan sakit semasa persetubuhan. 
  • Berkomunikasi dengan pasangan anda tentang perasaan dan kemahuan yang dapat menggalakkan keintiman. 
  • Bersenam dapat mengatasi stres dan meningkatkan mood. 

Cara-Cara Anda Boleh Memberi Sokongan kepada Ahli Keluarga atau Yang Tersayang Dalam Tempoh Menopaus

Jika anda ingin membantu kenalan wanita anda sama ada ibu, kakak, adik, mahupun rakan-rakan yang sedang melalui proses menopaus tetapi tidak pasti bagaimana caranya, berikut adalah beberapa langkah yang anda boleh amalkan. 

  • Belajar tentang menopaus : Dengan mengenali tanda-tanda dan kesan menopause, anda akan lebih memahami keadaan insan tersayang anda.
  • Membantu melegakan simptom : Apabila anda bersama-sama mengatasi simptom menopaus, insan tersayang anda tidak akan rasa keseorangan dalam menjalani proses yang mencabar ini.
  • Menjadi pendengar aktif : Mendengar perasaan insan tersayang anda adalah sangat penting untuk mereka rasa difahami. Berikan ruang dan masa jika mereka tidak bersedia berkomunikasi.
  • Hindari stres : Cuba untuk mengurangkan beban minda insan tersayang anda. Jika anda sendiri boleh selesaikan sesuatu masalah, usah minta mereka untuk melakukannya. 
  • Elak memperkecilkan pengalaman menopaus : Walaupun anda tidak atau belum mengalami menopaus, tidak bermaksud apa yang insan tersayang anda lalui itu remeh. Pastikan anda sentiasa memberi kata-kata dorongan untuk menaikkan semangat mereka.
  • Cuba untuk tidak rasa kecil hati : Sebagai peringatan bahawa sebarang bahasa kasar dari insan tersayang anda adalah tidak sengaja dan bukan datang daripada hati, tetapi atas sebab ketidakstabilan hormon. 
References
About the Writer
Ain Nadzirah
Ain is just another small-town film buff who treats her car rides as a stage to belt out show tunes and musicals. It is not a strange sight to spot her talking to her 14 cats at home, or arguing with her grandma over having too many (and counting) potted flowers.
Make Home Care Personal To Your Loved One
curve

Make Home Care Personal To Your Loved One

Get started with a free consultation today, and learn why thousands of Malaysians trust Homage to deliver the best care in their homes.

Get Care Now