Ketahui Kencing Manis Semasa Hamil

Diabetes ketika hamil atau dikenali sebagai Gestational diabetes boleh memberi kesan kepada ibu dan bayi. Ketahui simptom, punca & kesan kencing manis semasa mengandung dan cara mencegahnya.

by Ain Nadzirah

Apakah Gestational Diabetes Mellitus?

Gestational Diabetes Mellitus (GDM) merujuk kepada sejenis diabetes semasa kehamilan. Kondisi ini boleh terjadi kepada wanita hamil yang tidak pernah menghidap diabetes sebelum mengandung. Penyakit kencing manis ini biasanya berlaku pada pertengahan kehamilan antara minggu ke-24 hingga ke-28. 

Perbezaan antara Gestational Diabetes dengan Diabetes yang Lain

Diabetes adalah penyakit kencing manis yang menjejaskan keupayaan badan anda untuk menggunakan glukosa bagi membekalkan tenaga. Ia sering dikaitkan dengan fungsi hormon insulin dan gula darah yang melebihi paras normal. Jenis diabetes yang paling biasa adalah diabetes jenis 1, diabetes jenis 2, dan gestational diabetes. 

Diabetes jenis 1 

Diabetes jenis 1 merupakan sejenis penyakit autoimun. Ini bermaksud sistem imun anda salah mengenalpasti sel dalam pankreas (sel beta) yang menghasilkan hormon insulin sebagai sel asing. Sistem imun anda akan menyerang sel beta menyebabkan pankreas anda tidak lagi berupaya untuk menghasilkan insulin

Pesakit diabetes jenis 1 perlu bergantung pada suntikan insulin setiap hari untuk terus hidup. Ia biasanya didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak. 

Diabetes jenis 2

Kebanyakan pesakit diabetes mengidap diabetes jenis 2. Untuk diabetes jenis ini, pankreas anda tidak mampu menghasilkan insulin secukupnya atau insulin yang ada tidak dapat berfungsi dengan baik. Ia selalunya melibatkan golongan individu pada pertengahan umur atau lebih tua. 

Tidak semua pesakit diabetes jenis 2 memerlukan suntikan insulin. Rawatan utama bergantung pada perubahan gaya hidup, pemakanan, dan preskripsi ubat-ubatan.  

Gestational diabetes

Gestational diabetes hanya berlaku pada golongan wanita semasa tempoh kehamilan akibat daripada perubahan hormon. Paras gula darah anda biasanya akan kembali stabil selepas hamil. Walaubagaimanapun, terdapat risiko untuk mengidap diabetes jenis 2 apabila berumur. 

Punca Kencing Manis Semasa Hamil

Apabila kita makan, pankreas akan mengeluarkan hormon insulin yang berfungsi untuk menggerakkan glukosa dalam darah ke dalam sel badan agar dapat menghasilkan tenaga. 

Semasa kehamilan, terdapat placenta dalam kandungan bayi iaitu organ yang menghubungkan janin dengan dinding rahim bagi menyerap nutrien daripada ibu. Plasenta ini menghasilkan pelbagai jenis hormon penting untuk pertumbuhan bayi. 

Namun, hormon plasenta boleh menghalang insulin ibu daripada berfungsi dengan baik (rintangan insulin). Semakin bayi membesar, semakin tinggi kadar insulin yang diperlukan oleh ibu mengandung. 

Kebiasaannya, pankreas akan mengeluarkan insulin tambahan untuk mengatasi masalah rintangan insulin. Namun jika tidak mencukupi, ia akan membawa kepada gestational diabetes di mana glukosa terkumpul dalam darah.

Tanda-Tanda Diabetes Semasa Hamil

Kencing manis ketika mengandung tidak menimbulkan gejala spesifik dan ketara. Ia biasanya dapat dikesan ketika pemeriksaan pranatal atau antenatal (dilakukan sepanjang tempoh mengandung bagi memantau kesihatan ibu dan kandungan bayi).

Namun, antara tanda-tanda gestational diabetes akibat paras gula tinggi yang anda boleh perhatikan seperti:

  • Bertambah rasa dahaga
  • Kerap membuang air kecil
  • Kelesuan dan keletihan daripada biasa 

Ramai wanita hamil sering menganggap simptom-simptom di atas sebagai kesan normal disebabkan kehamilan. Walaupun ia mungkin kelihatan tidak membimbangkan, anda dinasihatkan untuk memaklumkan juga kepada pakar kesihatan semasa rutin pemeriksaan jika mengalami mana-mana gejala tersebut.  

Siapakah yang Berisiko Mengidapi Diabetes Semasa Hamil?

Kajian pada tahun 2019 menunjukkan gestational diabetes kerap berlaku kepada 18.3% wanita hamil di klinik kesihatan awam Malaysia. Kadar tersebut lebih tinggi daripada kebanyakan populasi barat seperti Amerika Syarikat yang mencatat 2% hingga 10% sahaja setiap tahun. 

Meskipun gestational diabetes boleh terjadi pada mana-mana wanita hamil, terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko sesetengah ibu mengandung untuk mengalaminya, termasuk: 

  • Berumur lebih daripada 25 tahun
  • Berat badan berlebihan sebelum hamil
  • Sejarah keluarga mengidap penyakit kencing manis jenis 2 (Type 2) atau gestational diabetes
  • Pernah mengalami gestational diabetes semasa kehamilan sebelumnya
  • Mengidap sindrom ovari polisistik (PCOS) 
  • Pernah melahirkan bayi yang berat melebihi 4kg (macrosomia)
  • Menjalani kehidupan yang tidak aktif secara fizikal
  • Mempunyai tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi, dan masalah jantung
  • Daripada etnik Asia (wanita Asia dan Hispanik mempunyai risiko GDM yang lebih tinggi berbanding etnik lain)

Komplikasi Kencing Manis Semasa Hamil

Paras gula darah yang tinggi semasa hamil tidak patut dipandang remeh. Jika dibiarkan dan tidak dikawal sebaiknya, gestational diabetes akan meningkatkan banyak risiko kesihatan untuk anda dan kandungan bayi sehingga boleh membahayakan nyawa.   

Kesan pada ibu mengandung

  • Bersalin secara pembedahan (Caesarean section atau C-section)
  • Tekanan darah tinggi semasa mengandung (preeclampsia)
  • Mengalami gestational diabetes pada kehamilan akan datang
  • Mengidap diabetes jenis 2 apabila semakin berumur

Kesan pada bayi

  • Berat lahir yang abnormal (macrosomia)
  • Mengalami kecederaan semasa kelahiran seperti kecederaan bahu akibat saiz bayi terlalu besar
  • Kelahiran pramatang 
  • Paras gula darah terlalu rendah (neonatal hypoglycemia) sebaik selepas kelahiran yang boleh menyebabkan sawan
  • Penyakit kuning atau jaundis
  • Masalah pernafasan
  • Kecacatan kelahiran
  • Mengidap diabetes jenis 2 (type 2) dan obesiti apabila dewasa
  • Kelahiran mati jika gestational diabetes tidak dikawal 

Diagnosis Kencing Manis Semasa Hamil

Ujian saringan untuk mengesan gestational diabetes akan bergantung pada faktor risiko individu wanita tersebut.  

Di Malaysia, semua wanita hamil biasanya akan menjalani ujian saringan untuk GDM dalam trimester kedua, iaitu apabila kandungan berumur antara 24 ke 28 minggu.  

Bagi wanita hamil berumur 25 tahun ke atas tanpa faktor risiko lain, doktor akan melakukan ujian saringan pada tempoh lebih awal iaitu pada lawatan antenatal pertama. Jika keputusan ujian pertama ialah negatif atau normal, anda akan perlu mengambil ujian saringan kedua antara minggu ke-24 hingga ke-28 untuk memastikan sama ada paras gula darah anda masih kekal normal atau tidak. 

Oral Glucose Tolerance Test (OGTT)

OGTT atau juga dikenali sebagai ujian air gula adalah jenis ujian yang dijalankan untuk mendiagnosis diabetes, termasuk kencing manis semasa hamil. Ujian ini dapat membantu doktor memeriksa sebaik mana badan anda berupaya untuk proses kandungan glukosa (gula) dan mengawal tahap gula darah. 

Prosedur ujian OGTT adalah seperti berikut:

  1. Anda perlu berpuasa semalaman sekurang-kurangnya selama 8 jam sebelum ujian OGTT. Makanan dan minuman tidak dibenarkan kecuali air kosong sahaja. 
  2. Ujian OGTT akan dilakukan pada awal pagi esoknya di mana sampel darah pertama akan diambil untuk mencatat paras gula darah berpuasa (fasting blood sugar).
  3. Kemudian anda akan diberikan segelas air gula mengandungi 75gm glukosa yang dilarutkan dalam air untuk diminum.
  4. Sampel darah kedua akan diambil 2 jam selepas minum air gula. 

Bacaan Glukosa Dalam Darah dari Ujian OGTT 

Keputusan Oral Glucose Tolerance Test (OGTT) Sampel darah berpuasa

(mmol/L)

Sampel darah 2 jam selepas minum air gula

(mmol/L)

Normal Kurang dari 5.1 Kurang dari 7.8
Gestational Diabetes Mellitus (GDM) 5.1 dan ke atas 7.8 dan ke atas

Ujian Kawalan Diabetes Semasa Hamil

Semasa tempoh kehamilan, anda juga perlu menjalani ujian kawalan diabetes iaitu Blood Sugar Profile (BSP) jika anda:

  • Disahkan mengalami gestational diabetes selepas ujian OGTT. 
  • Sudah mengidap kencing manis sebelum hamil.

Paras gula darah yang tinggi boleh membawa komplikasi kepada kedua-dua ibu mengandung dan bayi. Oleh itu, ujian BSP sangat penting untuk memantau paras gula darah anda semasa hamil bagi memastikan ia sentiasa berada dalam paras optimum. 

Prosedur Blood Sugar Profile (BSP)

Menurut garis panduan Pengurusan Diabetes Semasa Hamil yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, ujian BSP dilakukan 2 minggu sekali sebanyak 4 kali sehari sehingga waktu anda bersalin. 

Masa yang biasanya ditetapkan untuk mengambil bacaan darah gula adalah pada pukul 8 pagi, 11 pagi, 3 petang, dan 8 malam atau 8 pagi, 12 tengah hari, 6.30 petang, dan 9.30 malam. Setiap bacaan mesti direkodkan dalam kertas khas yang diberikan oleh pihak klinik dan perlu dibawa pada lawatan klinik seterusnya untuk semakan doktor.  

Ujian BSP boleh dilakukan di rumah jika anda mempunyai kit ujian gula darah (self-monitoring blood glucose test). Alternatif lain adalah dengan menjalani ujian BSP di mana-mana hospital dan klinik kesihatan berdekatan. 

Bacaan Glukosa Darah dari Ujian BSP

Waktu Pengambilan Ujian BSP Bacaan Normal Ujian BSP
Sebelum sarapan pagi

(gula darah berpuasa)

Kurang dari 5.3 mmol/L
Jika diambil 1 jam 

selepas makan

Kurang dari 7.8 mmol/L
Jika diambil 2 jam 

selepas makan

Kurang dari 6.7 mmol/L

Target bacaan normal ujian BSP yang ditentukan oleh doktor mungkin akan berbeza mengikut keadaan diabetes ibu mengandung. 

Rawatan dan Pengurusan Diabetes Semasa Hamil

Matlamat pengurusan kencing manis semasa hamil adalah untuk mencapai paras gula darah yang normal secara konsisten. Langkah rawatan yang dinasihatkan akan bermula dengan perubahan gaya hidup sebelum memperimbangkan rawatan farmakologikal. 

Pemakanan

Kebiasaannya, langkah utama disarankan oleh doktor kepada ibu mengandung yang mengalami gestational diabetes adalah amalan diet sihat. 

Pemakanan ideal bagi menangani gestational diabetes bukan sahaja perlu berkhasiat dan seimbang untuk memenuhi keperluan nutrisi ibu serta bayi, malah ia juga harus berupaya memastikan paras gula darah terkawal sepanjang tempoh hamil.

Antara tips yang perlu diutamakan dalam pelan diet anda bagi mengawal gestational diabetes termasuk:

  • Praktik diet berglikemik rendah yang menggalakkan pengambilan karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh, kekacang, nasi perang dan sayur-sayuran. Karbohidrat jenis ini diserap dengan perlahan ke dalam usus jadi anda akan rasa kenyang lebih lama4
  • Amalkan makanan berserat, buah-buahan, dan protein tanpa lemak
  • Jauhi karbohidrat ringkas contohnya makanan yang diproses, makanan ringan, makanan segera, pencuci mulut manis serta minuman bergula tinggi seperti jus buah bergula dan minuman berkarbonat.
  • Pilih makanan dipanggang berbanding yang bergoreng. 
  • Makan dalam kuantiti yang kecil secara lebih kerap (3 kali makan hidangan kecil atau sederhana dan 2 kali untuk snek sihat). Elakkan makan terlalu banyak dalam satu hidangan agar paras gula darah anda tidak naik mendadak. 
  • Makan pada waktu yang sama setiap hari dan tidak langkaui waktu makan. 
  • Pelbagaikan variasi makanan bernutrisi untuk kehamilan seperti yang mengandungi kalsium, zat besi, dan asid folik. 

Senaman

Jika dibenarkan oleh doktor, anda disarankan untuk melakukan aktiviti fizikal ringan atau sederhana seperti berjalan, yoga, regangan otot atau berkebun. Walaupun sedang hamil, mengekalkan kecergasan dapat memberikan banyak manfaat kepada anda sebagai ibu mengandung. 

Bukan sahaja ia sangat penting sebagai persediaan untuk kelahiran bayi dan melegakan ketidakselesaan semasa hamil seperti sakit belakang atau kesukaran tidur, glukosa dalam badan anda turut akan digunakan bagi membekalkan tenaga semasa bersenam. Dengan ini, paras gula darah boleh menjadi terkawal. 

Mula bersenam ringan dahulu sebelum beralih kepada senaman yang lebih lama dan lebih kerap. Pastikan anda tidak lupa minum air secukupnya untuk hidrasi badan. Jika anda mengalami kesakitan, kepeningan, atau tanda-tanda lain yang memudaratkan kesihatan anda, hentikan senaman dan rujuk segera pada doktor anda.  

Pemantauan gula darah

Sentiasa memantau tahap glukosa sepanjang hari menjadi rutin biasa bagi ibu mengandung yang mengalami gestational diabetes.

Bagi memastikan paras gula darah anda berada pada tahap normal secara konsisten, anda perlu melakukan ujian BSP setiap hari mengikut kekerapan yang ditetapkan oleh doktor. 

Ujian BSP juga berguna untuk mengelakkan hipoglikemia iaitu keadaan kadar gula darah terlalu rendah yang boleh membahayakan kesihatan ibu dan bayi. 

Ubat-ubatan

Jika amalan diet seimbang dan rutin senaman terbukti tidak efektif dalam menurunkan bacaan BSP anda, rawatan perubatan akan digunakan bagi mengatasi masalah kencing manis ketika hamil.  

Metformin merupakan preskripsi ubat oral dalam bentuk tablet yang mampu membantu insulin dalam badan berfungsi lebih baik. Ia biasa disarankan oleh doktor kerana ia selamat untuk kandungan bayi. Kajian menunjukkan metformin juga berupaya untuk mengurangkan risiko macrosomia (saiz bayi besar daripada normal) dan risiko pembedahan Caesarean. 

Namun, metformin mungkin tidak sesuai untuk semua individu. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu dan berbincang mengenai risiko serta kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku. 

Terapi insulin

Rawatan insulin hanya akan dipertimbangkan apabila:

  • kaedah pengurusan diabetes lain iaitu pemakanan, senaman, dan preskripsi metformin tidak berjaya menurunkan paras gula darah anda.
  • anda tidak sesuai dengan ubat metformin atas sebab alahan atau faktor kesihatan lain.
  • anda pilih untuk tidak mengambil ubat metformin.

Insulin diberikan dalam bentuk suntikan. Kebiasaannya, doktor akan mengajar anda teknik untuk melakukan suntikan tersebut apabila di rumah. 

Dos insulin yang ditetapkan berbeza bagi setiap individu kerana ia disesuaikan mengikut paras gula darah dan berat badan anda. Kekerapan dan dos suntikan insulin juga akan berubah beransur-ansur selari dengan perkembangan kehamilan anda. 

Walaupun suntikan insulin adalah prosedur kecil dah mudah, sesetengah ibu mengandung mungkin berasa tidak yakin untuk melakukan sendiri di rumah. Ketahui lebih lanjut tentang perkhidmatan kejururawatan Homage yang boleh melakukan prosedur ini dari keselesaan rumah anda.

References
About the Writer
Ain Nadzirah
Ain is just another small-town film buff who treats her car rides as a stage to belt out show tunes and musicals. It is not a strange sight to spot her talking to her 14 cats at home, or arguing with her grandma over having too many (and counting) potted flowers.
Make Home Care Personal To Your Loved One
curve

Make Home Care Personal To Your Loved One

Get started with a free consultation today, and learn why thousands of Malaysians trust Homage to deliver the best care in their homes.

Get Care Now