Homage cardiomyopathy

Info Lengkap Tentang Kardiomiopati

Kardiomiopati ialah keadaan dimana otot jantung mempengaruhi cara jantung mengepam darah. Baca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang keadaan ini.

by Ain Nadzirah

Kardiomiopati adalah sejenis penyakit serius yang melibatkan masalah otot jantung (myocardium) untuk mengepam darah ke seluruh badan dengan lancar dan secara efisien.

Akibatnya, aliran darah terganggu sekaligus jantung mengalami tekanan kerana terpaksa berkerja dengan lebih keras.

Kondisi medikal ini juga bersifat progresif. Ini bermakna lama-kelamaan kardiomiopati berkemungkinan besar akan beransur lebih teruk. Jika anda tidak mendapatkan rawatan segera, penyakit ini berisiko untuk membawa komplikasi lain seperti kegagalan jantung yang boleh mengancam nyawa anda.  

Ruang jantung dan fungsinya

Jantung kita terdiri daripada empat ruang yang memainkan peranan yang berbeza dalam pengaliran darah dalam badan.jantung dan fungsinyaEmpat ruang tersebut adalah:

  • Atrium kanan : Menerima darah yang rendah oksigen dari dalam badan dan mengalirkan ke ventrikel kanan. 
  • Ventrikel kanan : Mengepam darah rendah oksigen yang diterima dari atrium kanan ke paru-paru.
  • Atrium kiri : Menerima darah beroksigen dari paru-paru dan mengalirkan ke ventrikal kiri.
  • Ventrikel kiri : Mengepam darah beroksigen yang diterima dari atrium kiri ke seluruh badan. 

Penyakit kardiomiopati sering menyerang ventrikel kiri dan atrium kiri. Namun, ia juga boleh beransur kepada ruang jantung lain.

Jenis-jenis kardiomiopati

Terdapat empat jenis utama kardiomiopati yang biasa iaitu dilated, hypertrophic, restrictive, dan arrhythmogenic.

Dilated cardiomyopathy (DCM)Dilated cardiomyopathy (DCM)

DCM selalunya berlaku apabila ruang bawah jantung (ventrikel) kiri, meregang sehingga otot jantung menjadi semakin nipis. Ini menyebabkan saiz ruang dalam ventrikel melebar dan hilang kekuatan untuk mengepam darah dengan baik.

Kesannya, jantung anda yang lemah boleh membawa kepada kegagalan jantung. Hal ini kerana ia tidak lagi berupaya untuk mengepam darah serta cecair badan dengan secukupnya ke seluruh badan, dan akan terkumpul dalam paru-paru atau bahagian badan lain.

Hypertrophic cardiomyopathy (HCM)
Hypertrophic cardiomyopathy (HCM)

HCM terjadi disebabkan oleh gangguan genetik pada otot jantung yang mengakibatkan ia menebal secara abnormal dan menjadikan saiz ruang dalam ventrikel bertambah sempit. 

Otot jantung yang menebal boleh menghalang aliran darah keluar daripada jantung (keadaan ini dikenali sebagai obstructive HCM). Non-obstructive HCM pula merujuk kepada keadaan otot jantung yang menebal tetapi aliran darahnya tidak terhalang. 

Bahagian jantung yang sering terkesan oleh HCM ialah septum, iaitu dinding otot di tengah yang membahagikan antara ventrikel kiri dan ventrikel kanan jantung. 

HCM boleh menimbulkan pelbagai komplikasi lain seperti:

  • Jumlah darah yang dapat masuk ke dalam jantung berkurangan, kerana ventrikel jantung semakin sempit dan tidak berupaya untuk menyimpan darah beroksigen dengan banyak. 
  • Jumlah darah yang keluar dari jantung ke seluruh badan juga tidak mencukupi, kerana otot jantung tebal yang agak sukar untuk mengecut atau mengepam. 
  • Kebocoran injap mitral. Injap mitral berfungsi sebagai pintu antara ruang atas (atrium) kiri dan ruang bawah (ventrikel) kiri jantung. Jika injap mitral tidak dapat tutup dengan betul oleh kerana otot jantung yang menebal, darah akan kembali naik atau bocor ke dalam atrium.
  • Apabila darah mengalir secara bertentangan, darah dan cecair badan akan terkumpul pada paru-paru. Lama-kelamaan, bahagian badan lain mungkin mula menjadi bengkak.
  • Rentak degupan jantung tidak sekata atau terlalu laju (arrhythmia).

Restrictive cardiomyopathy (RCM)

Restrictive cardiomyopathy (RCM)RCM adalah jenis kardiomiopati yang paling jarang berlaku. Ia merujuk kepada masalah otot jantung pada ventrikel yang tegang dan kurang fleksibel (tetapi dinding jantung tidak menebal seperti HCM). 

Dalam RCM, jantung tiada masalah untuk mengepam darah. Namun, ia tidak mampu mengendur (relax) atau mengembang sesudah mengepam. Keadaan ini akan menjadi sukar untuk memenuhkan ventrikel dengan darah yang secukupnya untuk disalurkan ke seluruh badan.Pesakit yang baru sahaja menjalani rawatan kanser seperti kemoterapi atau terapi radiasi lebih berisiko untuk menghidap RCM.

Arrhythmogenic cardiomyopathy (ACM)
Arrhythmogenic cardiomyopathy (ACM)

ACM selalunya berlaku pada ventrikel kanan, apabila otot jantung diganti dengan tisu parut yang menyebabkan masalah degupan jantung tidak sekata. 

Keadaan ini disebabkan oleh terdapat genetik abnormal yang menjejaskan protein otot jantung dan diganti dengan tisu parut. Tisu parut tidak dapat mengecut dengan baik ketika mengepam darah (rentak degupan lambat), maka bahagian otot jantung yang sihat terpaksa bekerja lebih keras (rentak degupan laju). Kesannya, jantung berdenyut pada rentak yang berbeza. 

Simptom kardiomiopati

Pada peringkat awal, kardiomiopati jarang menunjukkan sebarang gejala.

Namun, apabila keadaan penyakit semakin berlanjutan, simptom-simptom kegagalan jantung mula muncul seperti:

  • Mudah letih dan cepat mengah, walaupun semasa berehat
  • Sesak nafas (dyspnea)
  • Sakit atau ketidakselesaan dada, terutamanya selepas melakukan aktiviti fizikal
  • Kembung pada abdomen dan bengkak di bahagian kaki, buku lali, atau betis (disebabkan oleh cecair badan terkumpul)
  • Degupan jantung laju dan berdebar-debar kerana perlu bekerja lebih keras
  • Degupan jantung tidak sekata (arrhythmia)
  • Deruan (murmur) jantung, menandakan aliran darah yang tidak betul berpunca daripada kerosakan injap mitral
  • Rasa pening atau pengsan
  • Batuk ketika baring

Anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor dengan segera jika mengalami mana-mana simptom di atas.

Punca kardiomiopati

Anda boleh mendapat penyakit kardiomiopati melalui dua cara, iaitu:

  • Keturunan : Anda lahir dengan genetik penyakit kardiomipoati 
  • Diperoleh : Anda menghidap kardiomiopati disebabkan oleh penyakit atau kondisi kesihatan lain.

Faktor risiko kardiomiopati

Faktor risiko kardiomiopati
Risiko anda untuk mengalami kardiomiopati adalah lebih tinggi, jika anda mempunyai:

  • Ahli keluarga yang ada sejarah kardiomipati, serangan jantung, atau kegagalan jantung
  • Sejarah kondisi kesihatan yang melibatkan jantung seperti jangkitan pada jantung atau penyakit arteri koronari
  • Masalah injap jantung
  • Tekanan darah tinggi yang berpanjangan
  • Rawatan kanser seperti kemoterapi atau radiasi 
  • Pengambilan alkohol dengan kerap 
  • Penggunaan dadah secara haram seperti kokain dan amphetamines
  • Komplikasi kehamilan

Sesetengah penyakit lain juga boleh meningkatkan risiko kardiomiopati, termasuklah:

  • Obesiti
  • Diabetes
  • Penyakit tiroid
  • Penyakit autoimmun seperti penyakit tisu berhubung
  • Penyakit amyloidosis dan sarcoidosis yang menyebabkan tisu atau protein terkumpul pada jantung

Diagnosis kardiomiopati

Doktor anda akan melakukan pemeriksaan fizikal dan bertanya soalan mengenai sejarah medikal anda serta keluarga anda. 

Jika anda disyaki mengalami masalah jantung, anda akan diberi surat referral untuk berjumpa dengan pakar kardiologi yang lebih terlatih dalam kardiomiopati.

Pakar kardiologi biasanya akan menjalankan beberapa ujian diagnostik bagi mengenalpasti simptom anda, termasuk:

  • X-ray dada : Boleh melihat jika saiz jantung membesar
  • Echocardiogram : Menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan gambaran aliran darah dan denyutan jantung.
  • Electrocardiogram (ECG) : Boleh menunjukkan gangguan pada isyarat elektrik jantung dan mengesan denyutan jantung tidak sekata.
  • Cardiac catheterization : Katerer dimasukkan untuk menilai betapa kuat jantung mengepam. Pewarna (dye) juga boleh digunakan untuk mengesan sebarang halangan atau bahagian tersumbat dalam aliran darah. 
  • Ujian stress senaman : Pernafasan, tekanan darah,dan kadar denyutan jantung akan dipantau sambil anda berjalan atas mesin treadmill.
  • Cardiac CT : Gambar-gambar X-ray daripada imbasan CT dapat menunjukkan saiz jantung dan injap jantung.  
  • Cardiac MRI : Menggunakan gelombang radio dan magnet untuk menghasilkan gambaran jantung. 
  • Biopsi myocardial : Mengambil sebahagian kecil sampel daripada tisu otot jantung untuk mengkaji simptom kardiomiopati.
  • Ujian genetik : Dilakukan jika ahli keluarga terdekat ada sejarah kardiomiopati.
  • Ujian darah 
  • Rawatan kardiomiopati

Setakat ini, penyakit kardiomiopati tidak boleh diubati. Rawatan yang sedia ada hanya bertujuan untuk melegakan simptom dan mengelakkannya daripada menjadi semakin teruk. Risiko komplikasi juga dapat dikurangkan jika anda konsisten dengan susulan pemeriksaan dengan pakar kardiologi anda. 

Perubatan

Doktor anda akan memberi pelbagai preskripsi perubatan jantung bergantung pada komplikasi yang dialami. Antara jenis preskripsi untuk kardiomiopati adalah:

  • Perubatan untuk jantung mudah mengepam darah
  • Perubatan untuk memperlahan kadar denyutan jantung bagi menangani degupan jantung yang tidak sekata (e.g beta blockers)
  • Perubatan untuk mengeluarkan lebihan cecair daripada badan yang menyebabkan bengkak (e.g diuretics)
  • Perubatan untuk mengelakkan darah beku (e.g blood thinners)
  • Perubatan untuk mengawal tekanan darah tinggi

Setiap ubat-ubatan, termasuk preskripsi di atas, mempunyai kesan sampingan yang boleh menimbulkan masalah kesihatan lain. Preskripsi kardiomiopati diberi hanya jika kebaikannya lebih banyak daripada keburukan. 

Walaubagaimanapun, anda dinasihatkan untuk memaklumkan doktor anda jika terdapat simptom-simptom baru selepas mengambil preskripsi tersebut. 

Prosedur implan

Terdapat beberapa alat atau peranti yang dimasukkan dalam dada atau bahagian abdomen melalui pembedahan secara implan untuk membantu jantung berfungsi lebih baik, seperti:

  • Alat perentak jantung  : Peranti elektronik untuk mengawal kadar denyutan jantung melalui isyarat elektrik. 
  • Implantable cardioverter-defibrillator (ICD) : Alat elektronik untuk mengesan denyutan jantung laju dan abnormal yang boleh mengancam nyawa.
  • Ventricular assist device (VAD) : Alat mekanikal untuk membantu ventrikel kiri mengepam darah keluar daripada jantung ke seluruh badan.

Prosedur tanpa pembedahan

Terdapat juga jenis prosedur kecil yang tidak memerlukan pembedahan terbuka (dada perlu dibelah), seperti:

  • Septal ablation

Sejenis alkohol akan disuntikkan pada salur darah arteri di bahagian otot jantung yang menebal, dengan menggunakan peralatan medikal kateter.

Prosedur ini bertujuan untuk mematikan sel-sel di situ agar otot jantung tersebut dapat mengecut dan darah dapat mengalir seperti biasa tanpa halangan. 

  • Radiofrequency ablation

Prosedur ini berguna untuk mengatasi denyutan jantung abnormal dengan menggunakan kateter yang mengeluarkan gelombang radiofrekuensi.

Pembedahan/Surgeri

Bagi pesakit kardiomiopati yang mengalami simptom teruk atau yang menyebabkan gangguan pada fungsi jantung, pembedahan menjadi alternatif terbaik. 

  • Septal myectomy 

Pembedahan jantung ini dilakukan untuk merawat obstructive hypertrophic cardiomyopathy. Pakar bedah akan membuang sebahagian ketebalan daripada septum agar aliran darah tidak terhalang dan dapat mengalir dengan betul. 

Jika injap mitral bermasalah, ia juga akan dibaiki pada masa yang sama.

  • Pemindahan jantung

Prosedur ini dilakukan untuk menggantikan jantung yang rosak dengan jantung sihat yang disumbangkan oleh penderma. 

Pemindahan jantung merupakan pilihan terakhir apabila semua jenis rawatan yang dijalankan tidak berkesan. Ia selalunya disarankan bagi pesakit kardiomiopati yang menghadapi kegagalan jantung peringkat akhir

Langkah pencegahan kardiomiopati

Langkah pencegahan kardiomiopatiKardiomiopati yang berpunca daripada genetik atau keturunan tidak boleh dicegah. Namun, anda boleh mempraktikkan amalan sihat untuk meminimumkan risiko mendapat penyakit tersebut. 

Antara cara-cara untuk mengubah cara hidup anda adalah dengan:

  • Mengawal tekanan darah
  • Berhenti dan elakkan tabiat merokok
  • Menangani stress
  • Kurangkan atau elakkan pengambilan alkohol
  • Kurangkan pengambilan garam
  • Menjaga berat badan bagi mengelakkan obesiti
  • Mengamalkan pemakanan yang sihat dan berkhasiat
  • Rajin melakukan senaman
  • Mengambil preskripsi perubatan secara konsisten


References
About the Writer
Ain Nadzirah
Ain is just another small-town film buff who treats her car rides as a stage to belt out show tunes and musicals. It is not a strange sight to spot her talking to her 14 cats at home, or arguing with her grandma over having too many (and counting) potted flowers.
Make Home Care Personal To Your Loved One
curve

Make Home Care Personal To Your Loved One

Get started with a free consultation today, and learn why thousands of Malaysians trust Homage to deliver the best care in their homes.

Get Care Now