Influenza 101: Gejala, Punca, Rawatan & Pencegahan

Penyakit Influenza adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus influenza. Ketahui lebih lanjut tentang gejala, punca dan rawatan yang disediakan di Malaysia.

by Ain Nadzirah

Influenza adalah penyakit respiratori atau pernafasan yang boleh berjangkit berpunca daripada pelbagai jenis virus influenza.

Ia kebiasaannya menyebabkan gejala ringan, tetapi boleh membawa kepada tahap serius yang boleh mengakibatkan kematian dalam kalangan kanak-kanak mahupun warga emas.

Di kawasan beriklim tropika seperti Malaysia, influenza boleh berlaku bila-bila masa sepanjang tahun. Manakala di negara-negara yang mempunyai empat musim, influenza sering menular pada musim luruh dan musim sejuk. 

Punca dan jenis-jenis Influenza

Virus influenza terbahagi kepada 4 jenis utama iaitu: 

  • Influenza A

Jenis influenza A adalah virus paling berbahaya kerana ia merupakan satu-satunya jenis Influenza yang mampu membawa wabak kepada negara yang berbeza (pandemik). Influenza A boleh berjangkit kepada manusia dan juga haiwan termasuk:

  • burung liar 
  • ayam ternakan
  • babi
  • kuda
  • anjing
  • kelawar

Virus Influenza A diklasifikasikan kepada pelbagai subjenis berdasarkan dua protein yang dijumpai atas permukaan virus, dikenali sebagai hemagglutinin (HA) dan neuraminidase (NA).  Setakat ini, terdapat 18 subjenis HA dan 11 subjenis NA. Contoh subjenis yang kerap tersebar antara manusia ialah H1N1 dan H3N2 (juga didapati dalam kalangan anjing). 

Selsema burung (Avian Influenza) dan selsema babi (swine flu) terkandung dalam kumpulan penyakit yang dijangkit oleh virus Influenza A, merebak dari haiwan kepada manusia. 

  • Influenza B

Jenis Influenza B hanya berjangkit kepada manusia sahaja, dan tidak mengakibatkan pandemik.

Walaupun jangkitan Influenza B tidak seteruk Influenza A, ia masih boleh membawa gejala yang serius. 

Kedua-dua Influenza A dan B merupakan punca biasa wabak yang menular di sesuatu kawasan tertentu (epidemik) dan juga selsema bermusim.

  • Influenza C

Influenza C adalah jenis virus influenza yang paling ringan. Jangkitan influenza ini jarang dapat dikesan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom. 

Influenza C tidak mengakibatkan epidemik mahupun pandemik. 

  • Influenza D

Jenis virus Influenza D masih dalam proses penyelidikan dan setakat ini, ia hanya berjangkit kepada haiwan terutamanya lembu, babi serta biri-biri.

Gejala Influenza

Simptom influenza sering disamakan dengan simptom selsema biasa kerana kedua-duanya berkongsi tanda-tanda yang lebih kurang sama. 

Gejala influenza datang secara tiba-tiba, berkemungkinan bertahan lebih lama, dan boleh menjadi lebih teruk sehingga mengancam nyawa. 

Bagi kes influenza yang teruk, ia boleh membawa kepada komplikasi lain contohnya pneumonia (radang paru-paru).

Pesakit influenza mungkin mengalami mana-mana gejala berikut:

  • Demam
  • Menggigil
  • Batuk kering
  • Hidung berair
  • Sakit tekak
  • Sakit badan atau otot
  • Sakit kepala
  • Kelesuan atau keletihan
  • Ketidakselesaan di bahagian dada
  • Muntah-muntah dan cirit birit (kebiasaannya dialami oleh kanak-kanak.

Cara Influenza merebak

Virus influenza menular melalui titisan atau lendir yang tersebar ke udara apabila anda bersin, batuk, atau bercakap. Titisan ini boleh berjangkit kepada individu lain yang berada dalam jarak lebih kurang 1 meter (bersamaan 6 kaki) daripada anda, melalui mata, hidung, atau mulut. 

Anda juga boleh terjangkit apabila bersentuhan dengan permukaan atau objek yang telah tercemar dengan virus influenza.

Faktor risiko Influenza

Terdapat sesetengah kumpulan yang lebih mudah terdedah kepada virus influenza. Golongan ini perlu dipantau dan diberi perhatian untuk mengelakkan simptom mereka daripada melarat. 

Antara individu yang berisiko tinggi termasuk:

  • Warga emas yang berumur 65 tahun dan ke atas.
  • Kanak-kanak terutamanya berumur bawah 5 tahun.
  • Wanita hamil.
  • Pesakit penyakit kronik (seperti diabetes, tekanan darah tinggi, lelah, penyakit jantung atau paru-paru)
  • Individu imunokompromi iaitu mempunyai sistem imun yang lemah (seperti pesakit kanser dan AIDS)  
  • Penjaga untuk kumpulan berisiko tinggi seperti pengasuh, ibu bapa, penjaga profesional, serta pekerja penjagaan kesihatan. 
  • Individu yang tinggal di kawasan yang mengalami musim luruh dan sejuk. 
  • Individu yang berada di kawasan sesak dengan orang ramai (seperti di sekolah, asrama pekerja kilang, dan rumah orang tua)

Mendiagnosis Influenza

Apabila anda berjumpa dengan doktor, prosedur yang berikut mungkin akan dilakukan:

Langkah 1 : Pemeriksaan fizikal

Doktor anda akan menyemak rekod medikal anda terlebih dahulu jika terdapat faktor-faktor risiko. Ia kemudian diikuti dengan pemeriksaan fizikal untuk mendiagnosis gejala dan keadaan kesihatan anda. 

Langkah 2 : Ujian swab

Jika doktor anda mengesyaki ada tanda-tanda jangkitan Influenza, ujian swab (sama seperti ujian Covid-19) mungkin akan dilakukan untuk mengambil sampel bendalir daripada hidung atau tekak anda.

Langkah 3 : Ujian pengesahan

Untuk mengesahkan kehadiran virus influenza dalam badan anda, sampel daripada ujian swab tadi akan diuji menggunakan antara dua kategori kit ujian yang berikut:

  • Rapid influenza antigen tests atau rapid influenza diagnostic tests (RIDTs) : Boleh memberikan keputusan ujian dengan pantas iaitu dalam masa 15 hingga 20 minit kerana ia tidak perlu dihantar ke makmal. Kit ujian jenis ini juga boleh dilakukan secara kendiri di rumah sama seperti cara anda membuat ujian kendiri Covid-19. 

Walaubagaimanapun, kit ujian ini tidak begitu tepat kerana ia mungkin menghasilkan negatif atau positif palsu. Ini bermaksud anda mungkin ada jangkitan influenza tetapi keputusan ujian menunjukkan sebaliknya. 

  • Molecular assays : Kit ujian yang paling biasa digunakan dalam kategori ini adalah Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR). RT-PCR lebih tepat kerana ia boleh mengesan jenis virus Influenza A atau B. 

Keputusan ujian ini juga boleh didapat dengan cepat dalam masa 30 minit, tetapi mungkin mengambil masa beberapa jam jika doktor anda perlu menghantar sampel swab ke makmal.  

Adakah ujian Influenza diperlukan?

Kebanyakan pesakit influenza tidak perlu mengambil ujian influenza di makmalterutamanya jika gejala anda ringan dan berupaya untuk sembuh dalam masa satu atau dua minggu. 

Anda boleh membeli kit ujian kendiri untuk influenza di farmasi berdekatan sebagai langkah berjaga-jaga. Jika keputusan anda positif, anda mungkin diberi preskripsi perubatan dan disarankan berehat sambil berkuarantin di rumah. 

Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut sekiranya simptom anda tidak bertambah pulih.

Ujian Influenza penting bagi individu yang berikut SAHAJA:

  • Individu yang mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami komplikasi Influenza seperti pneumonia, lelah, bronkitis, dan masalah jantung. 
  • Individu yang bergejala teruk. 
  • Individu yang sedang dimasukkan dalam wad hospital.
  • Jika terdapat wabak penyakit pernafasan (alahan, tuberkulosis, selsema) menular dalam komuniti anda termasuk taman perumahan, sekolah, atau rumah sakit.

Merawat Influenza

Rawatan influenza yang diberikan mungkin berbeza untuk setiap individu mengikut keadaan gejala anda. 

  • Ubat antiviral

Ubat antiviral hanya diberikan jika perlu sahaja, terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi. 

Untuk memberi kesan yang paling efektif, ubat antiviral seperti Oseltamivir atau Zanamivir harus diberikan kepada pesakit dalam masa 48 jam selepas mengalami gejala pertama. Pengambilan ubat ini perlu diteruskan selama minimum lima hari.

Elakkan membeli sebarang ubat-ubatan di farmasi tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

  • Ubat antibiotik

Antibiotik hanya berkesan untuk menentang penyakit yang berpunca daripada serangan bakteria. Oleh kerana influenza berpunya daripada serangan virus, ubat antibiotik bukan pilihan rawatan yang tepat. 

Akan tetapi, doktor anda mungkin akan memberi preskripsi antibiotik jika anda mempunyai penyakit pernafasan lain, seperti lelah, yang boleh membawa jangkitan bakteria sekunder. 

  • Rawatan simptomatik

Bagi pesakit influenza yang mempunyai gejala ringan, anda disarankan untuk mengamalkan rawatan simptomatik sahaja—iaitu mengambil langkah penjagaan di rumah bertujuan untuk melegakan simptom.

  • Meningkatkan hidrasi badan dengan pengambilan air putih yang secukupnya.
  • Minum air suam untuk mengurangkan batuk dan sakit tekak.
  • Memperbanyakkan rehat. 
  • Mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. 

Pencegahan Influenza

Cara mencegah influenza yang utama adalah dengan mendapatkan vaksinasi tahunan dan mengamalkan langkah penjagaan dengan teliti. 

  • Vaksinasi

Virus influenza mudah untuk bermutasi, menjadikan ia lebih kuat dari semasa ke semasa. Disebabkan ini, vaksin influenza sering dikemaskinikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menangani strain virus Influenza yang terbaru. 

Jadi, anda dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan vaksin influenza sekali setiap tahun terutamanya golongan yang berisiko tinggi. 

Vaksin mungkin tidak berupaya untuk memberi perlindungan yang penuh untuk menentang virus influenza, tetapi ia masih mampu untuk mengurangkan risiko untuk kemasukan wad dan juga kematian sebanyak lebih 40 peratus

  • Kerap membasuh tangan

Bagi mengelakkan virus Influenza berada di permukaan sekeliling anda, praktikkan amalan mencuci tangan dengan bersih menggunakan sabun, lebih-lebih lagi selepas:

  • menggunakan tandas
  • bersin dan batuk
  • menyentuh sebarang objek atau permukaan

Botol atau semburan sanitizer juga boleh diletakkan dalam beg agar mudah untuk memastikan kedua-dua tangan anda sentiasa bebas daripada kuman. 

  • Elakkan bersin dan batuk secara terbuka

Sebaik-baiknya anda menutup mulut dan hidung apabila bersin dan batuk supaya titisan tidak merebak jauh kepada individu lain.  

Selain daripada menggunakan tisu, pemakaian pelitup muka 3 lapis (3 ply) dibeli daripada mana-mana farmasi juga digalakkan untuk mengurangkan sebaran titisan. 

Tisu, sapu tangan, dan pelitup muka yang telah digunakan hendaklah dibuang dengan cara yang betul, iaitu ke dalam tong sampah yang bertutup. 

  • Asingkan diri daripada orang ramai

Virus influenza boleh cepat merebak apabila anda berada di tempat yang sesak dengan orang ramai disebabkan jarak dekat dengan individu lain. 

Elakkan juga daripada tempat-tempat tertutup tanpa pengudaraan yang baik, di mana virus influenza boleh terperangkap dan memudahkan jangkitan. 

Influenza vs Covid-19

Gejala influenza dan Covid-19 yang bertindih boleh menyebabkan kekeliruan antara masyarakat, terutamanya apabila kedua-duanya berlaku pada musim yang sama. Statistik bagi penyakit influenza juga tidak diumumkan sekerap statistik Covid-19. 

Persamaan

Terdapat banyak persamaan antara influenza dan Covid-19, iaitu kedua-duanya:

  • merupakan sejenis penyakit pernafasan yang boleh berjangkit. 
  • boleh berjangkit melalui semburan titisan apabila anda bersin, batuk, atau bercakap. 
  • boleh membawa maut.
  • mempunyai gejala yang agak sama termasuk demam, batuk, sakit tekak, hidung berair, dan kelesuan. 

Perbezaan

Perbezaan yang ketara antara kedua-dua penyakit tersebut adalah punca jenis virusInfluenza berpunca daripada virus Influenza, manakala Covid-19 berpunca daripada virus corona. Vaksin untuk Influenza dan Covid-19 juda tidak sama. 

Berbanding dengan Influenza, Covid-19 :

  • lebih mudah merebak.
  • boleh mengakibatkan komplikasi yang lebih serius.
  • mengambil masa lebih lama untuk menunjukkan gejala.
  • menyebabkan hilang deria rasa dan bau. 

Bagaimana untuk mengenal pasti?

Satu-satunya cara terbaik untuk mengesan sama ada anda mempunyai penyakit Influenza atau Covid-19 adalah dengan berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan diagnosis yang betul

Pakar kesihatan boleh menggunakan kit ujian spesifik (dual test kit) yang berupaya untuk menguji kedua-dua influenza dan Covid-19 dalam masa yang sama.

Walaupun jarang berlaku, ada kemungkinan anda juga boleh menghidap kedua-dua penyakit secara serentak.

References

Category
Acute Conditions
Tags
About the Writer
Ain Nadzirah
Ain is just another small-town film buff who treats her car rides as a stage to belt out show tunes and musicals. It is not a strange sight to spot her talking to her 14 cats at home, or arguing with her grandma over having too many (and counting) potted flowers.
Make Home Care Personal To Your Loved One
curve

Make Home Care Personal To Your Loved One

Get started with a free consultation today, and learn why thousands of Malaysians trust Homage to deliver the best care in their homes.

Get Care Now